Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 28 November 2012

Pertam Kena Saman

Sebuah syarikat pemaju hartanah yang dipercayai pro Umno, memfailkan tuntutan saman terhadap Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka sebanyak RM53.5 juta kerana perlanggaran kontrak. Peguam syarikat berkenaan, AP Land, Mohd Harris Abdullah  berkata tuntutan saman difailkan syarikat berkenaan kepada anak syarikat kerajaan negeri Melaka itu berkaitan keingkaran perjanjian dan penamatan tawaran. Menurutnya, AP Land selaku plaintif telah mencapai persetujuan dengan defendan untuk membangunkan Fasa 5, Bandar Baru Jasin Bistari di Lot PT 8535 Mukim Ayer Panas, Daerah Jasin, Melaka seluas 90.2 ekar (36.5 hektar) secara usahasama. “Setelah semua perjanjian dipersetujui bersama, satu surat dari defendan bertarikh 21 Februari tahun ini, didapati berbeza dengan persetujuan bersama iaitu di H.S(D) 10230 (FASA 5), PT 8795 Bandar Jasin Bestari, Mukim Ayer Panas, Daerah Jasin, Melaka dengan keluasan 33.94 hektar. “Ternyata hak milik yang dikeluarkan untuk maksud usahasama tidak menepati keluasan asal. 

Terdapat pengurangan keluasan sebanyak 2.56 hektar daripada keluasan asal yang dicadangkan oleh defendan melalui surat tersebut,” katanya ketika ditemui Harakahdaily. Tambahnya, akibat daripada itu terbit isu-isu berbangkit yang sepatutnya diselesaikan seperti keperluan untuk menetapkan nilai sebenar projek memandangkan terdapat pengurangan keluasan tanah, balasan yang perlu dibayar kepada defendan kerana pengurangan keluasan tanah dan mengatasi kecacatan dalam rekabentuk kolam takungan. Akhirnya, melalui surat bertarikh 26 April tahun ini, defendan telah dengan secara salah, tidak sah dan melanggar perjanjian yang termeterai, membatalkan tawaran dalam surat tersebut dan menafikan hak-hak plaintif untuk memajukan tanah tersebut sebagaimana yang telah dipersetujui. Harris berkata, sebaik sahaja bayaran komitmen dibuat oleh plaintif, kerja-kerja awalan telah dilaksanakan seperti menyediakan pelan-pelan cadangan, merekabentuk unit-unit rumah yang akan dibangunkan, membuat kajian tapak dan kerja-kerja berkaitan melalui perunding yang dilantik. Tambahnya, plaintif juga telah melantik kontraktor utama bagi membina dan membangun rumah-rumah yang dicadangkan di atas tanah tersebut serta melalui Koperasi Perumahan Angkatan Tentera (KPAT) lebih kurang 500 unit. 

 “Akibat daripada perlanggaran kontrak oleh defendan, plaintif telah mengalami kerugian-kerugian, kos, penat lelah dan kehilangan peluang mendapatkan keuntungan daripada pembangunan tanah tersebut sebagaimana yang telah dirancang. “Defendan, semasa membuat penamatan tawaran tersebut tahu atau mempunyai pengetahuan atau sepatutnya tahu bahawa akibat semulajadi kepada penamatan tawaran tersebut, plaintif akan mengalami kerugian-kerugian, kos, penat lelah dan kehilangan peluang mendapatkan keuntungan,” katanya daripada The Law Office of Mohd Harris di sini. Pada 1 Julai, AP Land melalui Tetuan Nurliny & Associates telah menuntut perbelanjaan kerja-kerja perundingan RM130,000, rampasan Wang Komitmen RM100,000.00, perbelanjaan dan Kos Perunding RM3,500,000, kos kakitangan dan pengurusan RM830,000 dan kerugian peluang untung pembangunan projek RM49,000,000 Jumlah keseluruhan ialah RM53,560,000. Namun keengganan defendan membuat bayaran kepada plaintif sebagaimana yang dituntut adalah satu penganiayaan yang teruk terhadap plaintif. Oleh yang demikian, plaintif yang dipercayai ada hubungan dengan Umno menuntut daripada defendan ganti rugi jumlah berkenaan melalui tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Melaka.

Tiada ulasan: