Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 24 November 2012

Selangor Berjaya Tangkap "Hantu"

Selangor mendakwa berjaya mengesan 28 peratus pemilih berdaftar baru yang tidak dapat dikenal pasti di negeri itu daripada Daftar Pemilih Induk suku keempat 2011 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya. Jumlah itu adalah seramai 134,675 daripada 497,804 pemilih berdaftar baru dengan bilangan pemilih berdaftar tidak dapat dikenal pasti paling ramai dicatatkan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Serdang. LAPORAN PENUH Ia dinyatakan dalam Laporan Projek Pendemokrasian Negeri Selangor bertarikh 19 November yang dikeluarkan Unit Perancangan Ekonomi negeri Selangor. Daripada 134,675 pemilih yang tidak dikenal pasti ini, 51 peratus pemilih ini adalah lelaki dan 44 peratus pengundi baharu ini dalam lingkungan umur 21-30 tahun. 

 Dari aspek bangsa pula, 45 peratus pemilih yang tidak dikenal pasti adalah berbangsa Melayu, 35 peratus Cina, 13 peratus India dan 7 peratus lain-lain. Laporan itu turut menyatakan seramai lebih 9,000 pemilih berdaftar baru gagal dikenal pasti dikesan di DUN Sri Serdang - yang merupakan kawasan ketua pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman. "Sri Serdang mencatat bilangan pemilih yang tidak dapat dikenal pasti yang paling banyak," laporan itu dipetik. Ia diikuti dengan kawasan wakil rakyat Pakatan - Subang Jaya seramai lebih 8,000 pemilih (Hannah Yeoh - DAP), Hulu Kelang lebih 5,000 pemilih (Saari Sungib - PAS), lebih 4,000 pemilih di Bukit Lanjan (Elizabeth Wong - PKR), Kinrara (Teresa Kok - DAP), Kota Anggerik (Yaakob Sapari), Kota Damansara (Nasir Hashim - PSM), Sri Muda (Shuhaimi Shafiei) dan Taman Medan (Haniza Talha). 

 Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang media selepas sidang DUN berkata inisiatif itu diusahakan kerajaan negeri dalam tempoh tiga bulan bermula Jun lalu dan ia dibuat kerana Selangor ragu dengan penambahan daftar pemilih di Selangor. Beliau bagaimana pun menjelaskan pencirian pemilih berdaftar yang gagal dikenal pasti itu akan hanya didedahkan dalam pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

 "Kita akan terangkan kepada SPR apa yang kita rasakan sebagai tidak dapat dikenal pasti," katanya sambil menambah kerajaan Selangor akan menulis kepada SPR untuk membentang kajian itu selepas dewan negeri selesai bersidang minggu depan. Sementara itu, dalam satu kenyataan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata laporan tersebut telah diserahkan kepada Pejabat Dewan Negeri Selangor dan diedarkan kepada semua ahli-ahi Dewan Undangan Negeri hari ini. "Kita melaksanakan projek ini kerana ragu dan sangsi dengan penambahan bilangan daftar pemilih yang terlalu ramai di kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Selangor. "Justeru, kita telah menubuhkan satu sekretariat dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) menjadi Pegawai Koordinasi dan pemantau yang bekerjasama dengan ketua-ketua kampung, ahli-ahli majlis dan kakitangan pejabat daerah serta pihak berkuasa tempatan.

 Daripada kajian itu juga, katanya, terdapat lima kawasan Dewan Negeri yang mempunyai peta tidak lengkap iaitu Sungai Panjang dan Sri Serdang (daerah mengundi tidak wujud dalam peta), Damansara Utama (sempadan tidak dibetulkan), Hulu Klang , Sementa dan Selat Klang (sempadan daerah mengundi tidak jelas). Kajian itu, tambahnya, membuktikan kebimbangan kita terhadap peningkatan jumlah pengundi yang meragukan di kawasan dewan undangan negeri tertentu adalah berasas dan kukuh. 

 "Sehubungan itu, kita akan membawa hasil kajian ini kepada SPR untuk mendapatkan penjelasan sebelum tindakan lanjut kita ambil sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke -13. "Kita amat yakin rakyat sudah bersedia untuk membuat pilihan secara matang menerusi satu pilihan raya yang adil, profesional, jujur dan bertanggungjawab selaras dengan prinsip demokrasi yang kita pegang," katanya.

Tiada ulasan: