Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 25 Disember 2012

Bekas tentera didakwa ugut mahu racun anak

Seorang bekas tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengugut mati kepada bekas isterinya, Jun lalu. Tertuduh, Yusmi Mohd Yusof, 42, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin. Berdasarkan pertuduhan, Yusmi didakwa mengugut hendak menyebabkan kematian kepada bekas isterinya, Rokiza Aman, 39, dengan menghantar SMS berbunyi: “Abang rasa lebih baik abang dan anak-anak mati minum racun. Lepas tu, Iza pula menyusul. Ini kata putus dari abang”.

 Tertuduh didakwa melakukannya semasa berada di sebuah rumah di Taman Maju, Jasin kira-kira jam 11.19 malam pada 20 Jun 2012. Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Badariah Yusof ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM4,000 selain mengenakan syarat tambahan terhadap tertuduh. 

 Bagaimanapun, Yusmi merayu kepada mahkamah supaya wang jaminan dikurangkan dengan alasan dia hanya bekerja kampung selepas bersara sebagai anggota kerajaan selain perlu menyara dua anaknya berusia dua dan lapan tahun selepas bercerai dengan isterinya. Selepas mendengar rayuan itu, Harmi Thamri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dan mengarahkan supaya tidak mengganggu pengadu sehingga kes selesai. Beliau turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 13 Februari tahun depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen./ sinar 

ulasan : ramai sangat yang suka ambil jalan mudah untuk melepaskan tanggungjawab keatas keluarga sedangkan mereka tak fikir yang mereka tetap bakal dipertanggungjawabkan diakhirat dihadapan ALLAH SWT nanti. Jangan ingat kita boleh lepas atas dunia kita boleh lepas di akhirat tapi ingatlah Hadis Nabi SAW " setiap kamu adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan keatas apa yang kamu pimpin" maknanya sampai bila-bila pun akan ada tanggungjawab 

Tiada ulasan: