Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 24 Disember 2012

Mungkinkah 27 Hari Gelap Peneroka ??

Gerakan selamatkan Felda (GSF) merancang untuk berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Felda sewaktu Mesyuarat Agung Koperasi Permodalan Felda (KPF) berlangsung pada 27 Disember ini. Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, rancangan itu akan diteruskan jika keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyebelahi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membenarkan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad kekal di KPF. 16 peneroka Felda Jengka pada Jun lalu memfaikan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SKM mengekalkan keanggotan Isa dalam KPF walaupun mengakui perlantikan Isa itu salah di sisi undang-undang. 

 "Kalau mahkamah menyebelahi mereka kita tak ada pilihan melainkan menggerakkan ahli KPF di seluruh negara untuk berkumpul di depan pintu masuk pejabat Felda pada 27 Disember ini sebagai tanda protes kita," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan raja Laut semalam. Mei lalu, SKM memutuskan tindakan KPF menerima keahlian Isa bercanggah dengan undang-undang kecilnya. Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam peraturan itu yang membolehkan keanggotaan yang telah diterima oleh lembaga pengarah KPF dibatalkan.Oleh itu, keanggotaan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu diputuskan kekal. Mazlan berkata, 27 Disember ini dianggap sebagai 'hari gelap' ahli KPF jika Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF. "

Kita dah tahu, kalau KPF jatuh ke tangan Isa, masa depan KPF akan hancur. "Peneroka akan datang ke pejabat Felda dengan pakaian serba hitam dan membawa bendera hitam, menandakan masa depan yang gelap," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat. Mazlan juga berkata, Anak akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum 27 Disember ini terhadap seorang menteri dan SKM kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dalam isu KPF. “Saya tidak malu atau takut untuk nyatakan bahawa ini konspirasi didalangi mereka yang mempunyai pengaruh besar. “Komplot itu mahukan Isa Samad jadi Pengerusi KPF. Ini salah guna kuasa yang besar daripada seorang menteri,” katanya./hrkh 

Tiada ulasan: