Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 15 Disember 2012

Sabotaj: Pas, DAP tak bimbang, PKR ada strategi

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail tidak menolak gejala sabotaj turut membelenggu parti yang masih baru itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, yang dianggap paling genting dalam sejarah. Bercakap kepada Sinar Harian Online, Saifuddin menegaskan, bagaimanapun senario itu berbeza dengan apa yang berlaku dalam Umno - parti yang sudah lama mentadbir negara ini.

 "Lamanya mereka memerintah mewujudkan satu budaya yang selesa... Dalam PKR, walaupun baru, kita masuk pilihan raya tahun 1999, tahun 2004, 2008 dan kali ini Pilihan Raya Umum ke-13, saya menjangkakan hal yang sama akan wujud. "Punca terbesar ialah apabila seorang penjawat jawatan dalam merasakan diri mereka adalah calon yang terbaik, calon yang sudah lama buat kerja di sesuatu kawasan tetapi atas pertimbangan-pertimbangan strategik lain, pimpinan membuat keputusan untuk meletakkan calon yang lain daripada pemegang jawatan," katanya. Beliau ditanya adakah PKR turut berhadapan dengan kebimbangan seperti Umno-Barisan Nasional (BN) berhubung isu sabotaj - budaya yang boleh meranapkan usaha mempertahankan Putrajaya jika tidak diatasi. Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, PKR telah pun mempersiapkan parti dan mengambil langkah proaktif bagi menangani implikasi perbuatan tersebut. 

 "PKR menjalankan kaedah merekrut sukarelawan sejak tahun 2010 lagi. Sukarelawan ini bukan pemegang jawatan dalam parti tetapi mereka ahli biasa dan keutamaan mereka ialah memenangkan calon parti," jelas beliau lagi. Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu tidak pernah khuatir dengan gejala sabotaj kerana ahli-ahlinya sudah diterapkan dengan nilai-nilai wala' (kesetiaan) terhadap parti. Meskipun ada yang tidak berpuas hati terhadap calon yang dipilih untuk mewakili sesuatu kawasan, namun ia tidaklah sampai ke tahap mahu mensabotaj parti. Tambahan pula katanya, ahli Pas sudah ditekankan bahawa kepentingan parti mestilah mengatasi kepentingan peribadi, di samping menjadi calon adalah satu "amanah yang berat dan bukan perkara yang perlu direbut."

 "Pencalonan dalam Pas ini juga daripada bawah dan bukan daripada atas. Kecuali dalam kes-kes tertentu, kes-kes yang 'special', ini selalunya tak banyak tetapi ada satu dua kes," katanya. Ketika diminta menjelaskan apakah kes 'special' itu, Tuan Ibrahim berkata, ia mungkin melibatkan kawasan di mana calon yang dipilih oleh pusat tidak dapat diterima oleh ahli di kawasan itu pada mulanya, namun setelah diberi penjelasan, maka mereka akan akur. "Kawasan satu hal tapi yang satu lagi (berkaitan) calon. Biasanya ada tokoh-tokoh yang pusat lihat ia perlu diturunkan tapi kawasan tak nampak apa yang pusat nampak," katanya sambil menegaskan, "tapi sabotaj tidak berlaku."

 Sementara itu, Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran berkata, dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, beliau tidak nampak ada ahli DAP yang akan bertindak sabotaj terhadap parti. "Dalam parti kita, setakat yang saya tahu memang tidak ada. Sudah ada ruang untuk semua mainkan peranan. Bahkan kita juga mengambil ahli-ahli baru dan memberi sokongan dan bimbingan terhadap mereka," ujar beliau. Malah menurut beliau, isu sabotaj ini sengaja dimainkan oleh Umno-BN untuk mempersiapkan jawapan apabila mereka gagal mencapai misi mereka pada pilihan raya. "Bila Umno-BN mengaku, sebenarnya mereka sedang mengalihkan perhatian bahawa masalah dalaman itu disebabkan oleh sabotaj. Sebenarnya ramai orang tidak suka kepada mereka," ujar beliau./Sinar

Tiada ulasan: