Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong pandangan mantan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang bahawa Utusan perlu berubah jika mahu kekal relevan sebagai akhbar nasional.
Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata selagi mana Utusan dipengaruhi parti politik khususnya Umno, selagi itu ianya terus terbelenggu sehingga terpaksa mengikut telunjuk pihak tertentu.
"Bagi saya, pandangan Datuk Seri Azman Ujang wajar diberikan perhatian. Utusan Malaysia, akhbar yang diangkat sebagai akhbar nasional dan menduduki tempat pertama akhbar arus perdana akan terus merosot jualannya jika mereka kekal sebegini.
"Malah, mentaliti atau persepsi rakyat sudah meletakkan Utusan sebaris dengan akhbar nyamuk yang tidak ada harga untuk dibaca," katanya.
Azman Ujang sewaktu bercakap di forum 'Utusan: Kewartawanan Dahulu dan Kini' di Dewan Bahasa dan Pustaka semalam dilaporkan berkata, pendirian editorial Utusan yang membawakan agenda pro Melayu tidak cocok dengan demografi Sabah dan Sarawak.
Beliau juga berpandangan Utusan mempunyai toleransi yang agak rendah terhadap parti-parti pembangkang serta bersikap tidak lunak terhadap ahli-ahli politik pembangkang dalam pemberitaannya.
Mengulas lanjut Riduan berkata, pendirian Utusan itu telah menyebabkan akhbar yang dilabel sebagai 'akhbar Umno' itu acapkali disaman oleh pemimpin parti politik dan ada kes mereka kalah di mahkamah.
Ini katanya, menjadi bukti pemberitaannya yang berat sebelah serta mengandungi elemen fitnah atau mengadu domba.
"Kekerapan Utusan naik turun mahkamah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan untuk membacanya, apatah lagi untuk memilikinya," katanya.
"Saya yakin, jika Utusan berani melakukan perubahan drastik seperti yang dihasratkan, harapan mereka menjadi akhbar terlaris di negara ini pasti menjadi kenyataan. Malah, mungkin boleh menyelamatkan nyawa Umno BN yang kini tinggal nyawa-nyawa ikan dalam survival politik mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan