Golongan pertengahan generasi kedua menyifatkan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) menyekat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan isu amanat beliau secara langsung di RTM dan TV3 sebagai tidak adil.
Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Perpaduan Generasi Felda Jenderak Utara (Wajaf), Mohd Nazri Pilus berkata, generasi muda Felda perlu tahu kebenaran dan apa yang berlaku sebenarnya.
Menurutnya, mereka bimbang isu itu sengaja dimainkan BN bagi memancing undi rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.
“Walaupun sesetengah pihak menganggap isu ini sudah lapuk, namun mengapa ia dibangkitkan sekarang ketika kita hampir kepada pilihan raya. Kita bimbang BN ada agenda tersendiri.
“BN ketandusan isu untuk diketengahkan sedangkan banyak isu semasa yang patut diselesaikan oleh kepimpinan negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Nazri berkata, sekarang ini isu Perdana Menteri diaibkan dan dituduh oleh seorang jutawan karpet sedang hangat diperkatakan dalam media pakatan pembangkang.
"Kenapa tidak ada satu pun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membela tuduhan terhadap PM?
“Ini juga adalah isu besar yang perlu diberi perhatian berbanding Amanat Hadi yang kita kira isu lapuk pada 2013 ini," katanya.
Mohd Nazri berkata, generasi muda kini bersikap lebih terbuka dan mereka akan menilai sebarang isu, tambahan PRU13 dianggap penting kerana ia bakal menentukan arah kebajikan anak peneroka.
“Walaupun kenyataan ini kelihatan ‘mesra’ Pakatan Rakyat (PR), namun sebagai generasi muda, kami mahu BN beri fokus terus pada pembangunan negara dan rakyat.
“Tambahan pula, manifesto PR Pahang amat sesuai dengan selera generasi muda Felda masa kini dan kita bimbang anak muda akan tertarik dengan tawaran pembangkang,” katanya.
Menurutnya, Presiden Pas itu wajar diberi peluang menjelaskan isu amanat beliau secara langsung di televisyen supaya rakyat dapat menilai sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan