Followers

Cari Blog Ini

Memuatkan ...

iklan aff

iklan aff

Ahad, 20 Januari 2013

Isma Bakal Jadi Parti Politik

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyatakan hasratnya untuk terlibat secara serius dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan sebagai langkah awal ia telah menubuhkan Biro Politik. Ia juga sedang membuat kajian kemungkinan bertanding PRU13. Hasil kajian akan selesai 26 Januari ini. Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, dengan penubuhan biro itu, pihaknya boleh menyampaikan pandangan politiknya kepada masyarakat selain membuat kajian realiti politik semasa dan mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil berdasarkan perkembangan politik negara.


 “Sebagaimana kita tahu bahawa negara kita bakal menghadapi Pilihan Raya ke-13, jadi Isma insya-ALLAH tidak akan ketinggalan dalam mengambil bahagian dalam bentuk yang diizinkan oleh undang-undang dan mengikut kemampuan dan sesuai dengan tuntutan fikrah kita,” kata beliau dalam satu kenyataan media. Ketika dihubungi beliau berkata, "untuk terlibat bersama dalam PRU13 memang kritikal... ada keperluan untuk kami terlibat sama." Jelasnya, penubuhan biro itu sejajar dengan perkembangan politik negara yang bakal menghadapi PRU13 tidak lama lagi, malah ia bersesuaian dengan tuntutan fikrah NGO itu yang meletakkan agenda politik sebahagian daripada medan perjuangan. 

 “Atas cadangan daripada pelbagai pihak daripada dalaman Isma, ahli-ahli Isma sendiri dan juga rakan-rakan yang bersama-sama menyokong agenda Isma, maka Jawatankuasa Pusat Isma telah memutuskan untuk menubuhkan satu biro baru yang kita namakan Biro Politik Isma,” katanya. 

 Bagaimanapun Isma masih belum membuat keputusan untuk mencalonkan ahlinya bertanding dalam PRU13. “Itu kita belum putuskan lagi bagaimana penglibatan atau sejauh mana keterlibatan kita dari segi politik. “Kita mahu wujudkan benih pertama dalam penglibatan Isma dalam politik dan kita mahu sampaikan mesej ini kepada semua ahli dan rakan Isma yang mencintai dakwah Isma bahawa kita akan telah memulakan usaha itu,” jelasnya. Sementara itu, Ketua Biro Politik, Aminuddin Yahaya berkata, unit tersebut juga berperanan dalam memimpin pandangan rakyat khususnya orang Islam bagi menangani kemelut politik dengan berhemah tanpa menimbulkan pertelegahan dan sensitiviti kaum dan agama di negara ini.

“Menerusinya kita dapat memberikan penjelasan dan menunjukkan arah tuju umat Islam bagi menyelesaikan kemelut pertelegahan yang ada. Saya rasa masyarakat jelas dengan agenda utama kita, bukan penyelesaian dalam bentuk lain,” ujar beliau yang juga Timbalan Presiden Isma. Beliau akan dibantu oleh Mohd Hazizi Abdul Rahman sebagai Setiausaha dan Wan Hisyam Wan Embong selaku Bendahari. Pengarah Penerangan Biro ialah Abdul Halim Abdullah manakala Pengarah Strateginya pula Mukram Mohd Taib. Isma merupakan satu badan bukan kerajaan yang aktif memainkan peranan membentuk dan membina masyarakat dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup yang unggul dalam kehidupan seharian.

Tiada ulasan: