Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan mengadakan Majlis Pelancaran 7 Agenda Anak Muda Berkebajikan yang akan dibuat hari ini, jam 3.00 petang bertempat di depan pusat membeli belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.
“Ia akan disempurnakan oleh Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama Exco DPPM yang lain. Pelancaran ini amat siginifikan ketika negara akan berhadapan dengan Pilihan raya Umum ke-13,” kata Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar) dalam satu kenyataan.
Bersama Pemuda Pakatan Rakyat, katanya majlis itu adalah suatu inisiatif sebagai suatu tawaran khusus kepada golongan muda di negara ini.
Sudah tentu, katanya 7 Agenda Anak Muda Berkebajikan ini adalah sesuatu yang amat realistik, relevan serta menyentuh kehidupan anak-anak muda.
Tambahnya, antara isu utama yang membelenggu anak-anak muda negara ini ketika ini adalah peningkatan kos hidup, pengangguran, perumahan, pendidikan, kenderaan serta kesejahteraan hidup.
Menurutnya lagi, faktor-faktor tersebut telah menjerut anak-anak muda sehingga mereka tidak mampu menterjemahkannya dengan kehidupan yang baik.
Kesannya, kata beliau menjerumus kepada keciciran dalam pelajaran, kemiskinan bandar, kemelaratan, gejala sosial, kurangnya pendidikan agama, membawa kepada kemusnahan yang lebih besar seperti penyalahgunaan dadah, jenayah dan lain-lain lagi.
Tambahnya lagi, tawaran itu berusaha melengkapi keperluan dan kehendak anak-anak muda selari dengan tuntuan semasa mereka.
Jelasnya, langkah yang jelas serta tawaran yang meyakinkan akan memastikan anak-anak muda lebih terarah dengan panduan yang tepat.
Beliau berkata, selama lima puluh tahun kerajaan BN gagal memahami tuntutan anak-anak muda sehingga generasi muda hilang jati diri.
Katanya, kerajaan BN lebih berminat memenuhi kehidupan golongan muda dengan aspek yang merugikan mereka seperti hiburan yang melampau dan melekakan tanpa pengisian yang bermakna.
Beliau menambah, generasi muda adalah penentu jatuh bangunnya negara di masa hadapan dan mundur atau majunya negara di masa hadapan ditentukan oleh generasi muda pada hari ini.
Lebih dari itu, kata beliau generasi muda khususnya pengundi muda adalah penentu kepada keputusan Pilihan raya Umum ke-13.
“Melalui mereka, landskap negara mampu dilakar dan dicoretkan dalam kanvas politik baru dan 7 Agenda Anak Muda Berkebajikan ini bakal menjadi faktor pemangkin kebangkitan anak-anak muda dalam PRU 13 bersama Pakatan Rakyat,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan