Kuala Lumpur: Parlimen dijangka dibubarkan seawal esok selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan.
Ini berikutan pengedaran surat daripada Jabatan Perdana Menteri meminta semua Ahli Jemaah Menteri hadir pada mesyuarat itu lengkap berpakaian lounge suit berwarna gelap dan bertali leher berwarna merah untuk sesi bergambar.
jika Parlimen dibubar esok, SPR akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi” Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR
Mengikut amalan sebelum ini, Ahli Jemaah Menteri akan bergambar bersama Perdana Menteri dan timbalannya pada mesyuarat terakhir Kabinet sebelum pengumuman pembubaran Parlimen selepas mesyuarat.
Difahamkan sesi bergambar diadakan sebelum mesyuarat Kabinet esok dan Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang media bagi mengumumkan pembubaran Parlimen selepas itu.
Mengikut kelaziman, Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Kabinet bagi memohon perkenan pembubaran Parlimen.
Beberapa Menteri yang dihubungi mengesahkan menerima surat itu dan tidak menolak kemungkinan Najib mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mesyuarat Kabinet esok seperti kelaziman sebelum ini.
Tempoh 60 hari adakan PRU-13
“Saya sudah menerima surat dan mungkin ini adalah mesyuarat Kabinet terakhir penggal ini kerana mengikut tradisi Perdana Menteri sebelum ini, Parlimen dibubarkan selepas itu,” kata seorang Menteri kepada BH semalam.
Jika Parlimen dibubarkan esok, ia genap empat tahun Najib menerajui negara selepas dilantik menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.
Tempoh satu penggal atau lima tahun Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) akan berakhir pada 30 April ini dan Parlimen akan terbubar secara sendiri jika tidak dibubarkan sebelum tarikh itu.
Selepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari sehingga selewat-lewatnya bulan Jun untuk mengadakan PRU-13 bagi membentuk kerajaan baru.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menjadi negeri pertama terbubar secara automatik pada Khamis lalu dan kini ditadbir kerajaan sementara yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sementara itu Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata jika Parlimen dibubarkan esok SPR akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk menetapkan beberapa perkara dasar seperti daftar pemilih, watikah kepada pegawai SPR, tarikh penamaan calon tarikh mengundi./bh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan