Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail menyangkal kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mendakwa kejadian lampu padam di pusat pengiraan undi sebagaimana disebarkan menerusi internet adalah fitnah dan lakonan.
Noor Hanim berkata, gambar itu sebaliknya dirakam seorang petugasnya di bilik pengiraan undi Saluran 3 Sekolah Kebangsaan Serdang pada jam 7.32 malam 5 Mei lalu.
Beliau menafikan ia dirakam sebelum PRU13 seperti didakwa Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Menurutnya, hasil siasatan, pihaknya mendapati pengurusan SPR dilihat sekadar ingin menutup kelemahan sistem pilihan raya sedia ada.
Noor Hanim berkata, beliau hairan bagaimana Wan Ahmad sendiri seolah-olah tidak tahu pakaian rasmi petugas SPR yang memakai baju T kelabu pada hari berkenaan.
Menurutnya, ketika kejadian, wakilnya berusaha membekalkan lampu suluh ke bilik pengiraan undi terbabit bagi memastikan proses kiraan berjalan lancar.
Beliau turut menafikan terdapat wartawan di lokasi kejadian kerana yang ada di lokasi hanya Ketua Tempat Mengundi (KTM), petugas SPR, wakil calon dan anggota polis bertugas.
“Saya minta SPR terutama Wan Ahmad memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana melakukan kesilapan dalam mengeluarkan kenyataan tanpa membuat kajian mendalam dan mengambil ringan isu dibangkitkan rakyat,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, sekolah itu mempunyai empat saluran mengundi, namun saluran satu, dua dan empat, kiraan undi tamat lebih awal dan tiada gambar di ketiga-tiga saluran itu dirakamkan.
Hanya gambar di saluran tiga sempat dirakam kerana kiraan undi lewat tamat dan hanya siap jam 8 malam.
Sementara itu, Yang Dipertua Pas Puchong, Mohd Soffiean Ismail meminta SPR lebih teliti dalam membuat siasatan dan mahu tuduhan dibuat diperbetulkan.
Beliau berkata, pihaknya akan pertimbang untuk buat laporan polis selepas mendapat nasihat guaman.
Semalam, akhbar melaporkan, SPR mendakwa insiden lampu padam semasa pengiraan undi PRU13, 5 Mei lalu adalah fitnah dan lakonan itu dirakamkan sebelum PRU13 lagi.
Wan Ahmad dalam kenyataannya berkata, kesimpulan itu dibuat hasil penelitian beliau
Tiada ulasan:
Catat Ulasan