Sentimen perkauman yang dicetus Umno selepas pilihan raya lalu semata-mata untuk mengalih perhatian rakyat dari isu pokok berkaitan penyelewengan pilihan raya, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Berucap di Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat malam tadi, Kit Siang berkata, isu perkauman merupakan budaya lama pemimpin Umno untuk memecahbelahkan bangsa Malaysia.
Malah amalan itu jelasnya mengakibatkan tangan persahabatan ‘syaitan yang dikenali’ ditolak rakyat.
“Kita menyeru semua pemimpin Umno untuk bertanggungjawab. Kita mengutuk tindakan memerangkap bangsa Malaysia dalam sentimen perkauman. Ini salah dan perlu dihentikan serta merta,” tegasnya membidas kenyataan ‘Tsunami Cina’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Kit Siang turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat berbilang kaum yang mengundi beliau di Parlimen Gelang Patah sekaligus menumpaskan mantan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dengan majoriti sebanyak 14,762 undi.
“Ia mustahil bagi saya untuk memenangi Gelang Patah tanpa undi serta sokongan semua rakyat,” katanya.
Menyifatkan PRU 13 paling kotor dalam sejarah negara, beliau menggesa rakyat untuk sama-sama mencari kebenaran.
“Paling utama keperluan untuk menjelaskan tentang semua penyelewengan semasa pilihan raya.
“Bagi tujuan itu, kita memerlukan rakyat untuk membantu dan menyalurkan tenaga supaya penyelewengan dan rasuah didedahkan. Tampil ke hadapan beri maklumat dan carilah kebenaran, dalam suasana penuh sopan dan hormat antara satu sama lain,” saran Kit Siang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan