Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima kritikan menyatakan beliau kedekut dalam menggunakan dana negeri dan berjanji memperbaiki kelemahan itu.
“Anda kata saya kedekut, saya terima sebab itu bukan duit saya. Saya terima konsep bahawa duit itu sepatutnya digunakan untuk tujuan lebih baik, kenapa simpan begitu banyak? Saya terima.
“Saya akan mulakan dengan kampung luar bandar yang kita akan majukan melalui beberapa usaha supaya mereka melihat peningkatan pendapatan yang jelas dalam tempoh tiga tahun,” katanya dalam sesi penggulungan dan ucapan penangguhan Kongres Nasional Keadilan ke-9, di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang berjanji meningkatkan lagi simpanan negeri pada penggal ini untuk kegunaan rakyat.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mendapatkan pihak terlibat yang didapati menyalahgunakan duit rakyat supaya ia dapat dimanfaatkan mereka.
“Saya akan cari semua mereka yang salah guna duit dan akan masukkan duit itu dalam akaun kerajaan negeri supaya ia dapat dimanfaatkan oleh rakyat.
Pada penggal lalu, kerajaan negeri PR berjaya mengumpul rizab sejumlah RM2.6 bilion.
Selain itu, bagi memperkasa pentadbirannya untuk penggal kedua ini, Abdul Khalid akan menubuhkan political liaison di pejabatnya.
Beliau berkata, penubuhan political liaison itu dibuat bagi menterjemahkan asas perjuangan parti dalam bentuk pelaksanaan politik yang tidak terlalu rigid.
“Ada rakan beritahu saya, saya tidak reti permainan politik. Untuk itu saya terima asas perjuangan parti mesti diterjemahkan kerana ia beri peluang untuk lakukan perubahan.
“Perubahan itu akan membawa kepercayaan bahawa kita boleh gerak ke hadapan. Sebab itu saya terima,” katanya
Menurutnya, political liaison tersebut akan menguruskan hal ehwal politik dalam negeri dan mereka yang akan dilantik terdiri daripada individu yang pakar dalam lapangan tersebut.
“Ia adalah sebuah pejabat yang akan menempatkan mereka yang benar-benar tahu tentang usaha-usaha perkembangan politik dalam negeri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan