Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 10 Jun 2013

TPM Perlu Ubah Sikap Berat Sebelah- MP Gelang Patah

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuang sifat ‘lidah bercabang’ memandangkan ugutan terbukanya yang mewakili kerajaan minoriti 47% untuk menghukum majoriti 51% pengundi sebenarnya menggugat institusi-institusi utama negara ini. “Kita hairan melihat bagaimana Muhyiddin boleh menunjukkan sifat ‘lidah bercabang’ beliau dengan mengeluarkan kenyataan yang sama sekali bertentangan dalam majlis yang sama, iaitu majlis penghargaan pengundi BN di Kundang Ulu, Johor,” kata Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang. 

 Katanya, walaupun Muhyiddin mendakwa para pengundi Malaysia telah menyampaikan mesej yang jelas dalam PRU13 bahawa mereka mahu kerajaan bersikap lebih tegas dan jelas dalam mempertahankan institusi-institusi yang penting di negara ini, “menguatkuasakan undang-undang, menegakkan perlembagaan, memerangi jenayah secara berkesan dan membasmi rasuah,” Muhyiddin kemudiannya membatalkan sama sekali semua sentimen itu. Beliau berkata, Muhyiddin mengeluarkan ancaman untuk mendiskriminasi dan menghukum 51% pengundi yang menyokong Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memberi kelebihan kepada 47% pengundi yang menyokong BN dan Datuk Seri Najib Razak. 

 Lim yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menambah, sudah tentu perisytiharan Muhyiddin bahawa kerajaan BN akan menyalurkan ‘lebih banyak bantuan’ kepada masyarakat yang menyokongnya sewaktu pilihan raya umum menyiratkan suatu dasar yang bersifat menghukum dengan cara mengabaikan dan mendiskriminasi majoriti 51% pengundi. “Dan ini merupakan bukti paling jelas bahawa masih banyak yang perlu Najib lakukan untuk membuktikan beliau adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan bukan hanya 47% rakyat Malaysia.

 “Atau apakah kita sedang berdepan dengan keadaan di mana Najib mahu menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia, manakala Muhyiddin pula hanya mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri untuk 47% rakyat Malaysia?” tanya beliau dalam satu kenyataan. Menurut Lim lagi, ketika Muhyiddin menyebut tentang ‘mesej jelas’ rakyat yang mahukan kerajaan untuk mempertahankan institusi-institusi yang penting dalam negara ini, beliau gagal melihat gajah di depan matanya sendiri. Ini, katanya kerana sebenarnya Umno BN perlu memikul tanggungjawab penuh atas kemerosotan institusi-institusi utama negara ini sejak tiga puluh tahun yang lalu./hrkh

Tiada ulasan: