Mesir : Detik Hitam Sedang Berulang
Saya melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap apa yang sedang berlaku
di Mesir sekarang. Pada saya, inilah saat di mana detik hitam sedang
berulang semula dalam sejarah Mesir.
Saya menyaksikan sidang
media tentera yang mengumumkan rampasan kuasa dan diberitakan bahawa
Sheikh Al-Azhar juga turut bersama-sama dengan tentera menyokong
rampasan kuasa menggulingkan Dr Muhammad Mursi.
Ini tandanya tentera
tidak yakin dengan kekuatan mereka sendiri lantas menjadikan ulama
sebagai sandaran untuk meyakinkan rakyat. Di mana-mana sahaja, ada ulama
dipergunakan untuk menentang gerakan Islam. Tebalnya kulit kitab yang
dipelajari dan panjangnya ekor serban bukan jamiman seseorang ulama itu
celik politik.
Sheikh al-Azhar
ialah satu jawatan, jawatan tersebut buat masa sekarang dipegang oleh
penjawatnya. Namun ilmu yang ada pada Sheikh al-Azhar turut dimiliki
oleh orang lain. Belum tentu jawatan ini kekal dan Allah SWT berhak
menggantikan orang lain ke jawatan itu pada bila-bila masa. Samalah juga
dengan jawatan mufti. Sesiapa yang menjawat jawatan ini usah sesekali
menyangka ia akan kekal selama-lamanya. Sudah berlalu banyak orang yang
hanya menjadi alat kepada gerakan sekular untuk melawan Islam. Tiba
masanya, mereka dilontarkan ke tepi tanpa sesiapa bepaling lagi ke arah
mereka.
Saya yakin rakyat Mesir tidak akan berdiam diri dengan
perkembangan ini. Mursi menaiki takhta presiden dengan pilihanraya yang
sah bukan dengan jalan penipuan melalui jalanraya. Jika Hugo Chavez,
Presiden Venezuela yang pernah digulingkan tentera suatu masa dahulu
namun akhirnya kembali semula ke tampuk kuasa kerana tekanan rakyat,
saya tidak nampak ia mustahil berulang di Mesir. Kudeta dan diktator
bukannya pilihan manusia lagi di era sekarang.
Insya-allah,
sebagaimana Sungai Nil yang tidak berhenti mengalir, begitu juga nadi
kebangkitan rakyat di Mesir pasti akan terus bergerak. Pada saya, fi
zhilalil quran dan maalim fit toriq sedang melahirkan generasinya pada
hari ini!
Doa dan solidariti untuk Mesir.
Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan