Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 23 Oktober 2013

CUBAAN MENGHAPUSKAN ISLAM DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dianggap tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Ketua Delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro) ke Geneva, Switzerland, Azril Mohd. Amin berkata, tindakan Comango itu sengaja menimbulkan kekeliruan seolah-olah Malaysia adalah sebuah negara sekular yang meletakkan semua agama sama rata. Menurut beliau, perbuatan itu bertujuan meletakkan apa sahaja dasar dan undang-undang yang digubal kerajaan atau majlis-majlis agama Islam negeri di bawah seliaan serta pemerhatian Majlis Hak Asasi Manusia PBB.


 "Kerajaan perlu menjelaskan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB bahawa sekalipun rakyat di negara ini terdiri daripada penganut pelbagai agama dengan 60 peratus daripadanya umat Islam, Malaysia berkewajipan untuk memelihara agama Islam setiap masa. "Kealpaan perwakilan negara untuk memberikan perhatian utama kepada kewajipan memelihara agama Islam dalam perundingan antarabangsa boleh mengakibatkan Malaysia dihalang (estopped) pada masa akan datang daripada bersandarkan kepada hujah kedaulatan Islam,'' katanya dalam memorandum MuslimUPro yang disiarkan menerusi blog http://azrilmohdamin.com hari ini. Delegasi MuslimUPro kini berada di Geneva untuk memantau tuntutan yang dibuat Comango termasuk dalam isu proses semakan berkala sejagat (UPR) ke atas Malaysia yang memasuki pusingan kedua melalui Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 24 Oktober ini.

 Antara tuntutan yang dikemukakan Comango adalah hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini. Comango turut mempersoalkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, larangan terhadap penganut ajaran Syiah dan hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur. Gabungan itu turut menuntut undang-undang jenayah syariah dihapuskan, memberi persepsi negatif terhadap tindakan penguatkuasaan oleh jabatan agama Islam negeri dan usaha berdakwah kepada masyarakat Orang Asli serta mendesak kerajaan menarik balik pengharaman buku terjemahan Allah, Kebebasan dan Cinta, karya Irshad Manji. 

 Azril menambah, tuntutan-tuntutan Comango itu jelas mendedahkan agenda mengganggu-gugat kedudukan Islam di Malaysia dan perlu ditolak oleh kerajaan. Sementara itu, Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa yang menyertai delegasi itu berkata, kesemua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditemui MuslimUPro di Geneva sedar tentang percubaan untuk menggugat kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. "NGO-NGO yang kami temui turut dimaklumkan tentang usaha untuk mengheret Malaysia ke dalam kancah hak asasi manusia yang bercanggah dengan ajaran Islam dan nilai budaya setempat," katanya dalam satu kenyataan. Jelas beliau, delegasi MuslimUPro dijadualkan bertemu perwakilan yang terlibat dalam proses UPR esok.-Agensi 

Tiada ulasan: