KUALA TERENGGANU - BN berkemungkinan semakin sukar untuk menang di Dun Sungai Limau pada 4 November ini berdasarkan faktor Bajet 2014.
Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Perkasa Terengganu, Abu Bakar Abdul Ghani berkata, dengan pembentangan Bajet 2014 Jumaat lalu, ia bakal dijadikan modal oleh pembangkang untuk membidas kerajaan sepanjang kempen PRK di kerusi tersebut.
Menurutnya, ruang itu dilihat begitu terbuka untuk pembangkang menjalankan kempen kenaikan harga barang dan isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Sepatutnya dalam pembentangan bajet baru-baru ini, kerajaan perlu lebih mesra rakyat seperti penurunan harga keperluan harian contohnya harga petrol, beras, minyak masak, gula, tepung dan lain-lain lagi keperluan rakyat bawahan yang kuat menyokong BN dan Umno.
“Pas mungkin menang di Sungai Limau kerana kempen kenaikan harga barangan dan isu GST ini,” katanya.
Mengulas pemberian bonus kepada kakitangan awam, beliau melihat ia tidak memberi kekuatan kepada kerajaan BN kerana mendakwa hampir 65 peratus kakitangan kerajaan menyokong dan memberi sumbangan kepada pembangkang.
Jumaat lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2014 berjumlah RM264.2 bilion dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang kukuh, mengurangkan defisit fiskal, memakmurkan negara dan menyejahterakan rakyat dalam proses Malaysia menuju status negara maju berpendapatan tinggi.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, sebelum ini pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilihat mampu membawa kemenangan kepada BN.
Namun katanya, dengan pembentangan bajet tersebut, ia dilihat lebih menyebelahi Pas, lebih-lebih lagi Dun Sungai Limau sudah pun dianggap kubu kuat parti itu kerana gagal dirampas BN sejak 1995./ Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan