Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 9 Oktober 2013

KAWASAN PERIGI POTUGIS TERCEMAR

JASIN - Kawasan pelancongan Perigi Portugis di Kampung Pengkalan Samak, Merlimau kini menjadi tempat pasangan bercinta melakukan perbuatan tidak bermoral. Keadaan sunyi dan gelap di perigi tersebut menjadi punca banyak pasangan kekasih mengambil kesempatan melakukan perbuatan tidak bermoral di kawasan tersebut. Penduduk mendakwa kegiatan gejala sosial itu kerap berlaku sejak setahun lalu sehingga menimbulkan keresahan mereka yang melihat perkara berkenaan kerana boleh memburukkan nama kampung berkenaan.

Selain itu, penduduk turut mendakwa keadaan persekitaran perigi tersebut tidak dijaga dan dibersihkan. Di kawasan tersebut juga mendapati pondok rehat dan lampu telah rosak serta dipenuhi sampah sarap dan botol-botol arak yang bertaburan di kawasan semak berhampiran. Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lina berusia 28 tahun itu berkata, kebiasaannya kawasan itu akan dikunjungi pelajar sekolah menghabiskan masa melepak pada siang hari.

Katanya, pada waktu malam pula dia sering ternampak sekumpulan remaja bermotosikal dan kereta berada di tempat letak kenderaan di perigi berkenaan.

''Saya pernah terlihat pasangan remaja berkelakuan tidak senonoh, selain menghabiskan masa hingga lewat malam di situ dalam keadaan kawasan yang gelap dan sunyi," katanya.

Lina menambah, kedudukan perigi itu yang terletak lebih kurang 500 meter dari jalan raya dan tersorok daripada orang ramai menjadikan tempat itu sebagai 'port' untuk melakukan maksiat, melepak dan minum arak.

Seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Fatimah, 38, berkata, persekitaran perigi kotor dan perbuatan maksiat yang berlaku itu menjejaskan nama kampung berkenaan. Katanya, ketiadaan kawalan dan penjagaan rapi di tempat bersejarah itu menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan remaja melakukan perbuatan tidak bermoral.

Menurutnya, perigi itu kebiasaannya akan dikunjungi ramai ketika cuti hujung minggu terutama daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), keluarga serta pelancong dalam dan luar negara. "Kunjungan mereka ke sini adalah untuk melihat Perigi Portugis itu yang mempunyai sejarahnya tersendiri selepas singgah di Makam Tun Teja yang terletak tidak jauh dari sini," katanya.

Fatimah berkata, berkemungkinan kawasan Perigi Portugis yang tidak berpagar dan dilihat sudah lama tidak diselenggara menjadi antara faktor yang mengundang kepada kejadian gejala sosial berlaku.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20131005/ws_01/Perigi-Portugis-sarang-maksiat#ixzz2h5k6L4Hi

Tiada ulasan: