DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang menyeret pakaiannya kerana
sombong, maka Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat." (Riwayat
Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan pelbagai kelemahan
termasuk pemborosan dan pembaziran wang rakyat oleh pemimpin (ingat
semua orang adalah pemimpin) yang menurut sesetengah penganalisis
sebagai tidak masuk akal. Benar, apakah masuk akal jika sebuah jam
dinding RM100 dibeli dengan harga RM3,810 manakala sebuah teropong visi
malam pada harga pasaran RM1,940 dibeli dengan harga RM56,350!
Namun hanya segelintir pihak dan individu yang peduli; yang lain
berkata "apa hendak dirisaukan, itu bukan duit saya dan saya tidak ada
kena mengena dengannya." Demikianlah manusia, jika tiada petunjuk dan
undang-undang daripada Yang Maha Berkuasa, mereka pula 'berlagak
bagaikan Tuhan.' Mereka beramal 'ikut suka aku' (nafsu). Segala serakah
nafsu itu hanya boleh ditundukkan dengan undang-undang-Nya. Namun itu
tiada di negara ini kerana majoriti pemimpinnya bertuhankan nafsu!
Selagi pemimpin berciri ini berkuasa, usah bermimpilah kita untuk
menemui 'seorang Umar Abdul Aziz' - baginda cukup takut menggunakan
harta kerajaan tidak pada tempatnya sehinggakan pelita dinyalakan
anaknya untuk suatu urusan peribadi dipadamkannya kerana takut
menyalahgunakan harta awam. Tetapi, majoriti pemimpin hari ini tiada
kualiti itu iaitu ciri orang beriman yang apabila melakukan sesuatu
kesalahan kecil melihatnya bagaikan gunung yang mahu menghempap mereka.
Mereka bukan saja tidak melihat ancaman itu bahkan tidak berasa
bersalah pun!
Jadi apa yang boleh mengajar manusia termasuk pemimpin? Cendekiawan
Islam seperti Sayyid Abul A'la Maududi menegaskan tidak ada sistem
pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai
akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah.
Namun hari ini kita dapat saksikan betapa longgarnya pemimpin kita
dari segi akhlak. Amalan rasuah, salah guna kuasa, boros, cakap tak
serupa bikin, aneka jenayah dan maksiat semakin menjadi-jadi. Perilaku
buruk ini menjadi ikutan rakyat; peribahasa Melayu ada menyebutkan
bagaimana acuan begitulah kuihnya ataupun bapa borek anak rintik.
Islam dan segala hukum-hakamnya termasuk hudud adalah penyelamat
kepada kehidupan manusia tetapi majoriti pemimpin enggan menerimanya.
Mereka takut jika undang-undang ini dilaksanakan akan terkena batang
hidung sendiri kerana Nabi ada menyebut dalam sebuah hadisnya bahawa
jika anak kesayangan baginda, Fatimah mencuri nescaya akan dipotong
tangannya bagi menunjukkan tiada pilih bulu dalam melaksanakan hukum
Allah.
Berdasarkan keengganan mereka kepada hukum Allah, sahlah mereka tidak
layak menjadi pemimpin; tetapi ditakdirkan mereka sudah berada di
kedudukan itu (tidak kiralah sama melalui jalan benar atau batil) akan
berterusanlah penyelewengan dan ketidaktelusan sekalipun didedahkan
saban tahun termasuklah oleh Laporan Ketua Audit Negara.
Tanpa iman atau iman tipis (tidak melihat gunung mahu menghempap
mereka jika melakukan sesuatu kesalahan kecil) maka pemimpin-pemimpin
ini akan bersahaja dalam melakukan penyelewengan termasuk membazir wang
rakyat dan mengamalkan rasuah; lebih-lebih lagi tiada hukuman
dikenakan ke atas mereka. Mereka terus mahu mendaki puncak kuasa parti
dan negara sekalipun pernah dibabitkan dengan kesalahan rasuah dan
penyelewengan lain.
Namun agak menghairankan sesetengah rakyat terus memilih mereka
sebagai pemimpin. Kenapa? Ya mungkin kedua-duanya (pemimpin dan rakyat)
sama-sama tidak berilmu (jahil akhirat), tidak beriman atau beriman
tipis - mereka dua kali lima saja, Nauzubillah!/ LanH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan