Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 20 Oktober 2013

Mantan Ketua Menteri Di Tolak Parti Sendiri


Seperti dijangka, majoriti perwakilan memilih untuk mengekalkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Naib Presiden apabila ketiga-tiga menang dalam perebutan jawatan itu semalam. Keputusan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali jam 1.30 pagi tadi. Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang dikatakan mampu membuat kejutan, bagaimanapun kalah tipis kepada Hishammuddin tetapi menang besar di Kedah, Perlis, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Melaka.


 Namun, beliau langsung tidak mendapat undi 14 bahagian di Pahang apabila semuanya memihak kepada trio Zahid-Shafie-Hishammuddin. Di Johor, negeri asal Hishammuddin, Menteri Besar Kedah itu hanya mendapat dua undi daripada 26 bahagian. Mengikut undi popular, perwakilan memberikan 11,586 undi kepada Zahid, Hishammuddin (9,670), Shafie (9,192) dan Mukhriz (726). Bagaimanapun, beliau menyapu bersih semua tiga bahagian di Perlis, berbanding Hishammuddin yang langsung tidak mendapat undi di negeri itu. 

Selain mengatasi Hishammuddin di Selangor, beliau memberikan saingan rapat kepada Zahid serta Shafie di negeri itu. Kemenangan mudah Zahid dan Shafie pula bertepatan dengan ramalan apabila kedua-duanya menang besar dan mengesahkan kemenangan seawal jam 9.30 malam. Kedua-dua mereka membolot undi hampir di semua bahagian di seluruh negara, terutama Pahang, Johor, Sabah, Perak, Selangor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan.

 Bagi Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Isa Samad, ini mungkin kali terakhir mereka bertanding Naib Presiden selepas masing-masing memperoleh tidak sampai 10 undi bahagian. Paling menarik, Mohd Ali yang juga bekas Ketua Menteri Melaka tidak mendapat sokongan penuh daripada negeri itu apabila setakat tengah malam tadi hanya memperoleh satu undi daripada enam bahagian. Bahagian yang tidak memberi undi kepadanya ialah Masjid Tanah, Kota Melaka, Jasin dan Alor Gajah. Malah, Mukhriz mengatasinya apabila mendapat lima undi dari Melaka. Lebih mengecewakan di bahagiannya sendiri di Bukit Katil, Mohd Ali mendapat tempat kedua di belakang Zahid. Nasibnya berbeza dengan Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, apabila mendapat lima undi daripada lapan bahagian di negeri itu.

Tiada ulasan: