Lima anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang DAP hari ini
bertindak keluar daripada persidangan DUN Melaka ke-13 kerana membantah
keputusan Speaker DUN Datuk Othman Muhamad mengarahkan Lai Keun Ban
(DAP-Kota Laksamana) keluar dewan.
Bagaimanapun tindakan mereka tidak
disertai seorang lagi ADUN pembangkang Dr Md Khalid Kassim (PAS-Bukit
Baru), kerana enggan berganjak dari tempat duduknya dan kekal di dalam
dewan meneruskan sesi soal jawab pada persidangan itu. Tindakan Dr Md
Khalid mendapat pujian Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron
(BN-Sungai Udang) yang menyifatkan tindakan itu sebagai 'gentleman'
kerana kekal berada di dalam dewan untuk meneruskan persidangan dan
berbincang masalah rakyat di dalam dewan itu secara berdepan.
ADUN
daripada BN turut memuji tindakan Dr Md Khalid, malah Datuk Hasan Rahman
(BN-Sungai Rambai) sempat bergurau dengan mempelawa beliau menyertai
BN. Terdahulu Idris menjawab soalan tambahan daripada Lai sama ada
pembukaan Jalan Jonker kepada laluan lalulintas bermotif politik, yang
mana Idris menegaskan tindakan itu dilakukan bagi melancarkan lalulintas
di kawasan tarikan pelancong itu.
"Telah berkali-kali saya tegaskan
sebelum ini tindakan itu dilakukan demi memberikan keselesaan kepada
rakyat dan pelancong bagi mengatasi masalah lalu lintas, tindakan ini
juga tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke kawasan itu," kata Idris.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, Lai terus mendakwa
tindakan itu bermotif politik sehingga menimbulkan kekecohan dalam
kalangan anggota dewan hingga menyebabkan pertikaman lidah serta
cabar-mencabar antara Adun BN dan DAP. Bagi meredakan keadaan Othman
menasihati Lai supaya bertenang dan membahaskan perkara itu secara
berhemah, namun tidak dipedulikan Lai sehingga Othman mengarahkan Lai
keluar kerana tidak mematuhi peraturan dewan.
Arahan itu bagaimanapun
dibantah Ketua Pembangkang Goh Leong San (DAP-Duyong) atas alasan ia
tidak adil dan kemudian bertindak mengetuai empat Adun DAP yang lain
iaitu Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh), Lim Jak Wong (DAP-Bachang), Chin
Choong Seong (DAP-Kesidang) dan Tey Kok Kiew (DAP-Bandar Hilir) keluar
dewan. Meneruskan sesi soal jawab itu kemudian, Dr Md Khalid
bertanya tentang bilangan guru Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam
Melaka, dijawab Idris Melaka kini mempunyai 1,182 guru sekolah itu yang
semuanya berstatus kontrak.
Atas kepakaran Dr Md Khalid yang juga
bekas Pengarah Hospital Melaka, Othman turut membenarkan beliau
menyatakan pendapat dalam soalan berkenaan doktor pakar di Melaka dan
usaha menambah bilangan doktor pakar di negeri itu. Sementara itu Dr
Md Khalid berkata keputusannya untuk tidak berganjak dari tempat
duduknya di dalam dewan tidak berkait dengan kesepakatan politik antara
dua parti itu, sebaliknya beliau berpendapat semua anggota dewan perlu
memahami dan mematuhi peraturan ketika berada di dalam dewan.
"Saya
tidak keluar kerana menghormati peraturan dewan. Ini berkait soal
teknikal, peraturan ada untuk dipenuhi," katanya kepada Bernama di luar
persidangan DUN hari ini. Beliau berkata kesepakatan antara ADUN
pembangkang di negeri itu tetap kukuh dan berpendapat agenda membela
nasib rakyat yang dilaksana pembangkang tidak akan terjejas hanya kerana
keputusan itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan