Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Tan Sri Nazri Aziz mengakui warganegara Bangladesh antara teramai yang dibenar tinggal di Malaysia dalam tempoh jangka panjang sejak Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dilancar sehingga Ogos 2013.
Menurutnya, Bangladesh mencatat kedudukan ketiga teramai dengan jumlah 2,603 daripada 22,320 warganegara asing dari 122 negara yang diluluskan untuk tinggal di negara ini.
Katanya, China mencatat rekod tertinggi diikuti Jepun dan United Kingdom serta Iran berkedudukan selepas Bangladesh.
“Daripada jumlah ini, bilangan peserta teramai adalah dari negara China (4,187), diikuti Jepun (2,880), Bangladesh (2,603), United Kingdom (2,016), dan Iran (1,266),” kata Nazri.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berhubung statistik warga asing yang berhijrah ke Malaysia mengikut nama negara asal mereka dan tahun sejak program itu diperkenalkan pada 2002.
Penjelasan ini sekaligus membuktikan kerajaan sebelum ini berdolak-dalik dalam isu lambakan warga asing di negara ini termasuk warganegara Bangladesh yang didaftar sebagai pemilih untuk mengundi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Menjelaskan mengenai cadangan meningkatkan kriteria bagi menyertai MM2H, Nazri berkata, buat masa ini, Kementerian tiada cadangan untuk mengubah kriteria bagi warganegara asing yang ingin menyertai program tersebut dalam masa terdekat.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan