Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 26 November 2013

Intipan asing, Najib patut malu pada Presiden Indonesia

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak patut merasa malu terhadap presiden Indonesia yang tegas mempertahan maruah negara itu sebaik mendapat tahu diintip pihak asing, kata Naib Presiden KEADILAN, Datuk Chua Jui Meng. “Tindakan tegas Indonesia mengkaji semula hubungan dengan Australia selepas mendapat maklumat mereka diintip negara itu membuktikan ketegasan pemimpin mereka.

 “Najib patut malu kerana terus membisu dan tiada keupayaan politik sebagai seorang pemimpin dalam berdepan cabaran sama. Najib patut respon sama ada akan menuruti langkah Indonesia atau tidak,” katanya ketika dihubungi. Pada 19 November lalu, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata negaranya sedang mengkaji semula kerjasama dengan Australia ekoran intipan negara jirannya itu terhadap pemimpin mereka.
Dua hari kemudian, Australia menghentikan tindakan itu ekoran bantahan Indonesia. Pada 31 Oktober lalu, akhbar Der Spiegel dan Sydney Morning Herald melaporkan pendedahan ‘whistleblower’ Edward Snowden bahawa risikan turut dibuat ke atas Malaysia oleh kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan internet.

 Ekoran itu, Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat menyelar perbuatan itu, dan menggesa pentadbiran Najib menyuarakan bantahan. Mengulas lanjut, Chua berkata beliau bimbang sikap berdiam diri Najib menunjukkan kerajaan tunduk terhadap kemahuan asing, khususnya Amerika Syarikat dalam isu Perjanjian Kerjasama Trans-Pacifik (TPPA). “Najib mungkin sudah berjanji dengan Amerika dalam perkara tertentu dan sebab itu dia banyak diam. Kita juga tahu Najib sangat bersetuju menandatangani TPPA dengan AS walaupun majoriti rakyat membantahnya. “Semua ini mungkin ada kaitan,” kata bekas menteri kabinet dan tokoh politik hampir 30 tahun ini. Short URL: http://www.keadilandaily.com

Tiada ulasan: