PUTRAJAYA, 31 Okt (Bernama) Keberkesanan kempen di peringkat akar umbi merupakan antara faktor penentu kejayaan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau 4 Nov ini.
Penganalisis politik Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata meskipun tindakan bertemu dan beramah mesra dengan penduduk adalah teknik biasa kempen, namun ia antara pendekatan yang begitu dekat di hati pengundi
"Saya rasa kempen di peringkat akar umbi ini yang perlu kita lihat. Bukannya personaliti sangat. Kadang-Kadang kempen bersalampun jadi penting dan boleh mendapat banyak undi.
"Jadi, di peringkat akar umbi punya dinamika pemilihan itu lain. Tidak boleh macam 'orang Kuala Lumpur'," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini Khamis.
Bagaimanapun, Shamsul Amri yakin Umno dan PAS mempunyai strategi tersendiri untuk memenangi kerusi DUN Sungai Limau yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 Sept lepas.
Pada PRK itu, BN diwakili bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Suhaimi Lazim, 52, yang juga Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai manakala PAS oleh Ketua Pemuda Jerai Mohd Azam Samat, 37, yang juga pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan