PETALING JAYA: Para pengundi termasuk di kalangan anak muda menghantar mesej yang jelas bahawa mereka sudah muak dengan budaya politik fitnah, ganas, rasis dan kebencian.
“Sebaliknya semasa Pilihan raya Umum yang lalu, tumpuan adalah kepada isu good governance, alam sekitar, kualiti dan integriti calon dan manifesto parti politik,” ujar Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nasrudin Hassan.
Ini, ujarnya adalah bayangan kepada iltizam yang kuat daripada sebahagian rakyat untuk menikmati dan berpartisipasi dalam iklim baru politik di negara ini.
“Lanskap masyarakat kita juga banyak berubah dengan cepatnya tersebar maklumat, khususnya melalui media sosial yang baru seperti facebook twitters dan sebagainya yang menyebabkan kepalsuan propaganda media arus perdana mudah untuk dipatahkan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan DPPM ke-54, di sini malam ini.
Muktamar yang bertema 'Infiru' itu dirasmikan oleh Timbalan Presidan PAS, Mohamad Sabu.
Menurutnya, realiti itu juga selari dengan meningkatnya kelompok kelas menengah dalam masyarakat dan golongan itu rata-ratanya celik maklumat dan berpartisipasi dalam proses demokrasi dengan pelbagai pendekatan dan tindakan.
“Inilah menjadi salah satu ciri penting dalam budaya politik baru iaitu participatory democracy iaitu penglibatan yang aktif daripada warga masyarakat dalam proses demokrasi termasuklah hal pilihanraya,” katanya.
Justeru, kata beliau Pemuda PAS perlu menyedari realiti dan expectation baru ini dengan iltizam menjadi pemain yang berketerampilan dan berkesan dalam medan demokrasi semasa.
Maka, ujarnya dalam mencapai cita-cita menjadi pemain dan peneraju yang berketerampilan, pimpinan pemuda harus sedia untuk terus belajar dan mencabar diri serta berani tampil di tengah khalayak, berhujah dalam pelbagai topik dan isu yang menyangkut kepentingan Islam dan kemaslahatan rakyat.
Perlu diingatkan bahawa dalam suasana baru ini juga, kata beliau ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menzahir dan menyebarkan dakyah untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama seperti kenyataan yang mencemarkan ajaran Islam atau mengguris perasaan penganut agama-agama lain.
Justeru, kata Ahli Parlimen Temerloh itu, Pemuda PAS tidak akan teragak-agak untuk berhujah dan berdepan dengan kelompok ini kerana keharmonian dan kerukunan hidup bermasyarakat adalah sesuatu yang tiada galang-gantinya.
Beliau menambah, antara keperluan jamaah pada hari ini ialah tenaga pemuda murabithun iaitu pemuda yang sedia mewaqafkan dirinya sepenuh masa bersama jamaah, penglibatan bersama Dewan Pemuda PAS secara sepenuh masa dan bukannya secara part time, apa lagi bermusim.
“Meninjau iklim perjuangan hari ini, saya menegaskan bahawa Dewan Pemuda PAS kini memerlukan tenaga murabithun,” ujarnya.
Katanya lagi, suasana politik nasional pada hari ini turut menuntut pemuda menyusun tenaga murabithun yang berkepakaran dalam meletakkan PAS dalam posisi peneraju.
Tambahnya, dalam menyusun tenaga murabithun ini, Dewan Pemuda PAS akan merangka sistem sokongan supaya institusi murabithun benar-benar berkesan dan menyumbang kepada kemajuan jamaah secara menyeluruh.
“Sistem sokongan yang saya maksudkan adalah meliputi program pengupayaan bakat (capacity building), sokongan kewangan dan sistem komunikasi dalam gerak kerja berjamaah.
“Saya bercita-cita melihat institusi murabithun adalah suatu kedudukan dan taklif yang dihormati lantaran fungsi yang berpengaruh dalam menggerakkan jamaah dan keupayaan yang tinggi yang dimiliki oleh para murabithun menuju status hawaariyun atau ansarullah,” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan