Soal penjenamaan semula Pemuda PAS menjadi tumpuan utama bagi dua calon yang merebut jawatan tertinggi sayap parti Islam itu – ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kayat dan juga peguam Zulhazmi Shariff.
Dua tokoh Pemuda PAS ini mengambil kesempatan untuk menerangkan rancangan itu dengan panjang lebar dalam pidato mereka dalam program 'Wacana Pemuda: Memimpin Kebangkitan' di Ampangan, Negeri Sembilan semalam – yang tidak dihadiri Kamaruzaman.
Dalam pidatonya, Suhaizan antara lainnya menggariskan bahawa penjenamaan semula PAS itu perlu melibatkan nama sayap itu sendiri yang menurutnya perlu lebih lebih berpengaruh di kalangan anak muda.
“Dalam PAS ini ada satu dewan yang dipanggil Dewan Pemuda PAS Pusat. Jadi ada orang tanya kalau ada Dewan Pemuda PAS Pusat, maka adalah ‘Dewan Pemuda PAS Bawah Pusat’. Ini yang pening.
“Saya rasa nama Dewan Pemuda PAS Pusat perlu dikomersialkan.
Kalau Pemuda Umno ada Pemuda Umno Malaysia.
"Dalam Muktamar Pemuda nanti usulkan nama Dewan Pemuda PAS Pusat ditukar kepada Pemuda PAS Malaysia supaya lebih dekat dengan anak muda, sebab ‘market’ kita anak muda.
"Sekarang nama itu (Pemuda PAS Pusat) macam nama orang lama,” kata Suhaizan yang turut berhasrat agar Pemuda PAS lebih ke hadapan untuk menjuarai isu-isu melibatkan rakyat dan juga lebih lantang menegur pemimpin parti.
“Saya juga akan mendepani isu-isu rakyat kerana saya mahu pemuda PAS bukan menjadi pemimpin PAS sahaja tetapi menjadi pemimpin Malaysia.
“Saya juga mahu Pemuda PAS dilihat sebagai insklusif dan bukan eksklusif. Saya mahu membawa masuk lebih ramai ‘bintang’ dalam Pemuda PAS agar dilihat terbuka.
“Ini ialah kerana bila Pemuda PAS dilihat seperti ekskusif, maka anak muda takut mendampingi Pemuda PAS,” katanya.
Suhaizan yang berhasrat untuk menyatukan golongan dalam Pemuda PAS berkata, pemimpin sayap parti berbakat perlu diletakkan dalam kedudukan yang sesuai dengan kepakaran masing-masing demi menguatkan sayap tersebut.
NONEUsaha untuk mengetengahkan Pemuda PAS sebagai penggerak isu itu turut menjadi tumpuan aktivis dan peguam, Zulhazmi yang berkata anggota sayap itu tidak seharusnya hanya duduk untuk menunggu untuk dikunjungi orang rakyat bermasalah.
“Saya mahu meletakkan Pemuda PAS sebagai pengerak isu. Kita kena cari masalah rakyat. Kita tak boleh duduk dan harap orang datang cari kita,” kata Zulhazmi yang aktif mewakili mangsa kes saman ekor dan juga dalam isu pembangunan Kampung Baru.
Dalam pidatonya, Zulhazmi berkata beliau berhasrat untuk menyusun tenaga anggota Pemuda PAS mengikut kepakaran masing-masing dan juga membentuk kerjasama dengan sayap parti lain serta pemimpin komponen lain dalam Pakatan Rakyat.
“Saya juga akan menubuhkan sekretariat di peringkat Pemuda PAS Pusat mengikut portfolio setiap kementerian. Motifnya ialah untuk melatih dan menyiapkan pemimpin Pemuda PAS yang berkaliber. Seandainya kita berjaya bentuk kerajaan pusat, kita ada calon dari dewan Pemuda PAS untuk menjadi menteri.
“Saya juga akan mengerakkan agar Pemuda PAS turut bekerjasama dengan Pemuda PKR dan DAP. Selain itu saya berhasrat mencungkil lebih ramai tokoh pemimpin pemuda sebagai pelapis parti,” ujar Zulhazmi.
Seorang lagi calon yang bertanding untuk merebut jawatan Ketua Pemuda PAS ialah Kamaruzaman Mohamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan