Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 5 November 2013

PRK N20 Sungai Limau : PAS Kekal Di Sungai Limau


YAN - Pas mengekalkan kerusi Dun Sungai Limau dengan majoriti undi berkurangan lebih separuh dalam pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini. Calon Pas, Mohd Azam Abd Samat, 37, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, dengan 10,985 undi. Pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei lepas, Tan Sri Azizan Abdul Razak (Pas) menang kerusi Dun itu dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.

 Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, di sini. Daripada 23,249 pemilih berdaftar yang keluar mengundi hari ini, 145 kertas undi diisytiharkan rosak. Dengan keputusan ini, Pas mengekalkan kerusi Dun itu sejak pilihan raya umum 1995 yang dimenangi menerusi Azizan.


Undi yang diperoleh Mohd Azam berkurangan 1,225 atau 9.2 peratus daripada jumlah undi yang diraih Azizan pada PRU13 iaitu sebanyak 13,294 undi. Jumlah pemilih berdaftar yang keluar mengundi hari ini juga berkurangan 1,100 atau 4.5 peratus daripada 24,349 pada PRU13. Mohd Azam yang ditemui pemberita selepas pengumuman itu mengucapkan terima kasih kepada jentera parti dan pakatan pembangkang yang membantu beliau mendapat kemenangan itu. Beliau juga berjanji akan memberi fokus kepada aspek kebajikan masyarakat di Sungai Limau. Ketika keputusan diumumkan, Ahmad Sohaimi dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir tidak berada di dalam dewan. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyifatkan pilihan raya kecil Sungai Limau antara yang memuaskan hati kerana tiada undi rosak yang disebabkan dakwat, selain tiada aduan dari parti politik dan pengundi. 

 "SPR yakin dakwat ini begitu sesuai," katanya. Katanya walaupun peratusan keluar mengundi tidak sampai jangkaan 90 peratus, tetapi kadar 85.5 peratus dikira baik di peringkat dunia. Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, kekurangan majoriti parti itu tidak melambangkan kemenangan moral BN. Beliau mendakwa Pas kehilangan lebih 1,000 daripada 3,666 pengundi yang berada di luar kawasan pilihan raya yang tidak boleh pulang mengundi. "SPR kena ambil tindakan buat pilihan raya kecil bukan pada hari bekerja," katanya yang melahirkan rasa syukur atas kemenangan Pas. - Bernama

Tiada ulasan: