Pontian: “Hanya kitab suci al-Quran yang masih sempurna, barangan lain musnah sama sekali,” kata mangsa kebakaran yang juga ibu kepada enam anak, Maimunah Marzuki, 77, kelmarin.
Maimunah ditemui pada kunjungan Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan, Pembantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pontian Jamani Mohd Sani dan Skuad Sayang Wanita UMNO Parlimen Pontian di Kampung Parit Tengah, Benut.
Dalam kejadian kebakaran pada jam 8.45 malam, 10 Januari lalu, rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dihuni Maimunah di Kampung Parit Tengah sejak empat tahun lalu hangus.
Maimunah tinggal bersama anak bongsunya, Hailan Baseran, 39, dan kedua-duanya kini sehelai sepinggang.
Hanya al-Quran terselamat dalam kejadian berkenaan dan Maimunah menganggapnya sebagai petunjuk kekuasaan Tuhan.
Maimunah yang kematian suami, Baseran Samsuri tiga tahun lalu berkata, mereka kini menumpang buat sementara di rumah ahli keluarga di kampung berkenaan.
“Ketika kejadian, kami bergegas keluar kerana api marak dengan cepat manakala asap tebal mula memenuhi ruang kediaman.
“Saya tidak pasti punca kebakaran, namun kami gagal menyelamatkan dokumen penting. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami selamat,” katanya.
Anak kelima warga emas berkenaan, Siti Sukinah, 43, berkata, ketika kejadian, dia kebetulan bercuti dan pulang melawat ibunya.
“Ketika kejadian, saya, ibu serta Hailan berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen. Asap tiba-tiba memenuhi ruang kediaman disertai bau hangit sebelum berlaku beberapa letupan kecil.
“Tidak lama kemudian, api mula marak dan kami terus keluar menyelamatkan diri. Jiran cuba membantu memadamkan api namun gagal,” katanya yang tinggal di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.
Ahmad berkata, pihaknya simpati dengan nasib menimpa keluarga mangsa dan akan menyalurkan bantuan sesuai bagi meringankan beban mereka./Hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan