BANDARAYA MELAKA - Pas merasakan kerajaan negeri tidak wajar memberikan kemudahan kereta rasmi kepada setiap timbalan Exco dan timbalan speaker sehingga sama tarafnya dengan Exco dan speaker.
Pesuruhjaya Pas 1 negeri, Kamarudin Sidik berkata, walaupun kemudahan berkenaan bukan satu bentuk pembelian dan berupa sewaan namun ia turut membabitkan kos.
Menurutnya, setakat ini tidak banyak negeri lain di negara ini yang memberikan kereta rasmi kepada timbalan Exco.
“Melaka dari sudut kewangan bukannya sebuah negeri yang kukuh, sedangkan sebelum ini pun timbalan Exco tiada pun kereta rasmi dan apabila naik ketua
menteri baru, timbalan Exco diberi kereta rasmi.
“Ini menunjukkan kerajaan negeri kurang berhemah dalam melaksanakan kewangan negeri dan Melaka tidak boleh ikut sesetengah negeri yang kukuh kewangan seperti Selangor, Pulau Pinang dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, Negeri Sembilan sendiri pun hanya memberikan kereta rasmi jenis Honda Accord kepada Exco dan bukannya timbalan Exco.
“Saya lihat negeri Melaka lebih kepada hendak hidup bergaya sedangkan dalam keadaan sekarang kerajaan negeri harus menjaga sensitiviti rakyat ekoran meningkatnya kos hidup.
“Saya sendiri tidak tahu apa motif sebenar kerajaan negeri memberikan kereta tersebut kerana kalau untuk meningkatkan prestasi kerja kepada mereka yang juga wakil rakyat, saya rasa kerajaan negeri perlu juga beri semua wakil rakyat di negeri ini tanpa mengira BN atau Pakatan Rakyat,” katanya. 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan