Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 21 Januari 2014

Pasangan dipenjara: PAS akan jumpa kedutaan Sweden

KUALA LUMPUR: PAS memberi perhatian serius berhubung masalah yang dihadapi oleh pasangan suami isteri Malaysia di Sweden termasuklah berusaha agar empat orang anak mereka ditempatkan di dalam jagaan keluarga muslim. Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, PAS melalui Islamic Community Of Sweden yang diwakili oleh Dr Abdel Rizk dan Dr Yusuf akan cuba membantu menyelesaikan masalah keluarga ini melalui hujah dan perbezaan budaya. "Kita telah berhubung dengan sahabat-sahabat di Sweden termasuk ahli parlimen dan badan bukan kerajaan di sana," katanya kepada Harakahdaily. Bahkan katanya, PAS akan berjumpa dengan pihak kedutaan Sweden dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah ini.
Jelas Syed Azman, terdapat empat kes seperti ini berlaku di Sweden termasuklah kes yang melibatkan pasangan rakyat negara ini yang mana kesemua mereka dipenjarakan. "Dalam kes seperti ini undang-undang mereka sangat ketat sehinggakan ahli keluarga pasangan berkenaan pun tidak dibenarkan melawat pasangan suami isteri itu," katanya. Pasangan suami isteri rakyat Malaysia Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang bekerja di Sweden dipenjara kerana memukul anak berumur 12 tahun kerana tidak solat, namun keempat-empat anak mereka diarahkan oleh Mahkamah Sweden diserahkan kepada keluarga angkat yang beragama Kristian. Anak-anak ini mengadu tidak selesa kerana ada anjing di rumah keluarga angkat walaupun dihidang dengan makanan halal tetapi pinggan mangkuk bercampur.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, setiap negara mempunyai undang-undang masing-masing dan tidak kira siapa wajar mengikuti undang-undang di negara mereka duduki. Tetapi katanya, sesebuah negara itu janganlah pula hak seseorang termasuk pasangan suami isteri di Sweden dinafikan termasuklah tidak boleh akses kepada peguam mereka. "Kerana ini akan menafikan pula hak asasi suami isteri itu, memandangkan mereka tidak dibenarkan membela diri," katanya.

 Jelasnya, adalah menjadi tidak adil pula apabila anak pasangan ini dihantar kepada keluarga angkat yang bukan Islam. "Akan menimbulkan lagi masalah apabila suasana dalam rumah yang tidak sesuai dan juga soal makanan halal dan haram. Sepatutnya mereka ini ditempatkan di rumah orang Muslim," tegas Mujahid. Tegasnya, dalam masa yang undang-undang negara Sweden juga tidak menghormati hak asasi manusia apabila kedua ibu bapa berkenaan tidak dibenarkan berhubung dengan anak mereka sejak sebulan yang lalu./Hrkh

Tiada ulasan: