Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 31 Januari 2014

SELAMAT TAHUN BARU CINA KEPADA SEMUA MASYARAKAT TIONGHUA


"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari laki-laki dan perempuan, dan Kami menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kalian adalah orang yang paling bertaqwa di sisi Allah." [maksud dari Surah al-Hujurat:13]. 

 Dewan Pemuda PAS Malaysia amat berbesar hati dengan kesempatan yang ada bagi meraikan rakan-rakan kita dari masyarakat Tionghoa yang akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi. Di dalam keresahan berdepan kenaikan kos sara hidup dan kebuntuan pemerintah yang telah menjadikan 2014 sebagai tahun harga Barang Naik, kita semua berkongsi harapan seraya ucapan "Gong Xi Fa Cai" yang sering diucapkan agar kerja keras kita tertebus dengan kekayaan dan kemakmuran.

 Dan sebagaimana tradisi, sambutan ini juga adalah peluang untuk ahli keluarga besar berkumpul bagi merapatkan hubungan yang mungkin terpisah atas tuntutan kehidupan. Maka ada wajarnya kemurnian tradisi tersebut dilihat dari sisi pandang kepelbagaian kaum di Malaysia dengan perayaan seperti sambutan Tahun Baru Cina ini menjadi tika penting bagi semua pihak kembali sebagai sebuah "keluarga besar". 

 Meskipun diasak kepentingan politik sempit yang memperbesar-besarkan perbezaan, ahli-ahli keluarga besar ini tidak harus mudah disinggung dan kekal yakin dengan iltizam tokoh-tokoh pengasas kenegaraan bahawa bersekutu bertambah mutu yang seterusnya boleh menjana penghasilan kekayaan dan kemakmuran Malaysia. Dikala PAS menggiatkan usaha pembaharuan dan dakwah, nilai-nilai penting yang begitu sinonim dengan masyarakat Cina seperti kecelikan politik, keusahawanan dan sokongan setiakawan yang diibaratkan seperti ‘jaringan buluh' amat wajar diteladani oleh Pemuda PAS khususnya.

 Maka di dalam suasana sambutan perayaan ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengambil peluang tersebut bagi mempertegaskan komitmen PAS untuk menjadi gerakan yang lebih inklusif dan berharap masyarakat Cina di negara ini terus bersama PAS dan Pakatan Rakyat sebagai sekutu penting ke arah menjadikan Malaysia negara yang lebih baik. Bagi mereka yang mengambil peluang dari cuti panjang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, semoga berhati-hati di jalan raya. Kami Pemuda PAS mendoakan keselamatan kepada semua dengan pengharapan tulus agar sambutan cuti ini menjadi kenangan gembira yang mendamaikan. 

 Gong Xi Fa Cai. Xin Nian Kuai Le. 
 Muhammad Khalil Abdul Hadi 
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: