Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 31 Januari 2014

TNB SAMBUNG BEKALAN ELETRIK KE PULAU BESAR 2015

MELAKA - Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata, Pulau Besar dekat sini akan memperoleh bekalan elektrik 24 jam pada penghujung tahun depan setelah siapnya projek pembekalan tenaga elektrik bernilai RM30 juta yang sedang dibangunkan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka. Beliau berkata, projek itu dijangka siap pada Ogos 2015 dan menggunakan kaedah kabel atas laut sejauh 4.2 kilometer membabitkan pembinaan 12 menara bermula dari Pantai Siring, Jasin ke pulau peranginan itu.
Katanya, projek yang bakal mempunyai kapasiti 5 megawatt akan dapat memenuhi permintaan masa kini pengusaha pelancongan di pulau berkenaan dan untuk persediaan masa depan. "Kapasiti 5 megawatt ini dapat memenuhi keperluan kira-kira 10 buah kampung di negeri ini, jadi kita semua boleh lihat betapa besarnya kapasiti projek ini supaya keperluan sektor pelancongan di pulau itu dapat dipenuhi. "Dengan bekalan elektrik yang stabil, Pulau Besar dijangka berkembang menjadi pulau pelancongan utama di negara ini dan antara produk pelancongan utama negeri Melaka," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini. Pelancaran projek membekalkan tenaga elektrik kepada Pulau Besar yang menempatkan beberapa buah resort serta kawasan sejarah berkeluasan 129.64 hektar itu telah dilakukan pada 5 Nov 2012 dan projek berkenaan, kini siap 13 peratus. 

 Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri juga akan membangunkan Kawasan Industri Lipat Kajang (LKIP) di Jasin seluas 202 hektar sebagai kawasan industri berprestasi tinggi. Beliau berkata, LKIP berjaya menarik pelaburan dari syarikat besar antaranya Guardian Industries, sebuah syarikat pembuat kaca dari Amerika Syarikat dengan nilai pelaburan sebanyak RM800 juta. "Selain itu, ada tiga buah syarikat antarabangsa terlibat dalam bidang kejuruteraan kenderaan, industri perubatan dan makanan halal juga berminat untuk melabur di LKIP," katanya. Sehubungan itu, beliau mengumumkan pelaksanaan projek infrastruktur bekalan gas ke kawasan perindustrian itu bernilai RM28 juta hasil usaha sama PKNM dan GAS Malaysia Berhad. "Projek itu bakal membekalkan minimum 10,000 meter padu gas sejam dengan saluran sejauh 39km bermula di Mukim Tebong, Alor Gajah...saya percaya projek ini akan merancakkan industri berprestasi tinggi di LKIP," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: