Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 9 Februari 2014

Tindakan melampau, jangan dakwa wakili NGO Islam

KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengingatkan organisasi yang mendakwa membela Islam dan Melayu agar tidak melakukan sesuatu yang menimbulkan tanggapan negatif masyarakat terhadap Islam. “Malah ia menunjukkan tindakan melanggar adab Islam boleh mendatangkan fitnah kepada masyarkat Islam dan Islam itu sendiri,” kata Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan. Beliau berkata, betapa marah sekalipun terhadap perlakuan pihak lain tidak boleh menjadi alasan untuk menunjukkan kelakuan melampau yang tidak diajar dalam Islam. 

“Sesungguhnya tingkah laku orang lain tidak boleh menjadi pedoman kepada kita melakukan sesuatu yang sama atau melampau sebagai tindak balas,” ujarnya lagi. Katanya, kelakuan seperti yang ditunjukkan oleh beberapa NGO dan perkumpulan Melayu itu tidak boleh mendakwa mewakili NGO Islam, jauh sekali mewakili bangsa Melayu mahupun Islam. 
 Lebih parah lagi, ujar beliauperbuatan itu menonjolkan sikap nasionalisme yang menyimpang dari kehendak Islam dan boleh menimbulkan kebencian orang lain terhadap Islam. “Kami berpandangan umat Islam dinegara ini tidak memerlukan perjuangan seperti yang ditunjukkan oleh kumpulan tersebut kerana betapapun kemarahan meluap-luap ia tidak boleh mendakwa memperjuangkan Islam,” katanya. 

 Menurutnya lagi, menghalalkan perbuatan batil untuk mencapai matlamat yang sah adalah tertolak sementara melakukan kemudaratan kecil untuk mengundang kemudaratan lebih besar sama sekali tidak boleh diterima. “Kami menggesa supaya perjuangan memperkukuhkan status bangsa dan Islam jangan dicemari oleh perlakuan yang tidak senonoh,” katanya. Justeru, kata beliau semua pihak mesti menunjukkan kematangan yang lebih dihormati berdasarkan ilmu dan hujah yang kukuh, bukan dengan cara yang bersifat cabar mencabar serta membakar emosi yang tidak bermanfaat. Menurutnya, menunjukkan sifat ranggi dan samseng bukan cara orang Melayu yang diasuh oleh perjuangan Islam yang tulen. 

 Tegasnya, perjuangan Melayu yang berteraskan nasionalisme cauvinis tidak boleh mewakili perjuangan Islam yang mulia. “Kami menggesa pihak berkuasa tidak memandang ringan intimidasi yang merbahaya dan boleh mencetus ketegangan antara kaum,” ujarnya. Beliau menambah, perbuatan seperti yang ditunjukkan oleh pihak berkenaan adalah resepi untuk mencetus keganasan yang tidak boleh dikompromi.

Tiada ulasan: