KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia (PPM) mengucapkan takziah kepada kelurga almarhum Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman yang kembali ke rahmatullah di Hospital Universiti Kebangsaan Malayssia (HUKM) tengah hari tadi.
Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, PPM turut merasa sedih dan pilu dengan kehilangan sang murabbi ummah itu.
Katanya, PPM menyifatkan pemergian almarhum Ustaz Abdul Ghani ke rahmatullah adalah suatu kehilangan besar kepada perjuangan Islam di Malaysia khususnya PAS serta rakyat umumnya.
Beliau berkata, almarhum adalah pemimpin disegani oleh kawan dan lawan, malah seangkatan dengan pemimpin hebat PAS seperti Almarhum Ustaz Datuk Harun Taib, Almarhum Ustaz Yahya Othman, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Almarhum Datuk Fadzil Noor.
Tambahnya, ilmu almarhum yang tinggi dicurahkan buat membimbing ummah yang mana masjid, markaz, surau dan segala agensi mampu dihadirinya tanpa letih dan alasan bagi menyampaikan ilmu dan dakwah kepada masyarakat.
Muridnya, kata beliau juga berjumlah ribuan orang dan merata ke pelosok negara serta berjaya dalam pelbagai bidang keilmuan.
“PPM mendoakan agar roh almarhum ditempatkan sebagai insan soleh dan diterima amalnya oleh Allah SWT. PPM berharap semoga keluarga almarhum tabah menghadapi ujian berat ini,” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan