Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 16 Jun 2014

TUAN GURU PRESIDEN TERUS TERIMA KUNJUNGAN DI ISTANBUL

ISTANBUL: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang kini sedang berehat di Istanbul terus menerima kunjungan para pemimpin politik di Turki dan antarabangsa. Selain dari rasa prihatin Kerajaan Turki pimpinan Racep Tayyib Erdogan yang sentiasa membantu dan memantau perkembangan kesihatan Tuan Guru Abdul Hadi, para pemimpin gerakan Islam antarabangsa juga sentiasa mengikuti perkembangan kesihatan beliau. Tuan Guru Abdul Hadi yang telah dibenarkan keluar dari Hospital Medipol Istanbul, kini sedang berehat buat beberapa waktu sebelum pulang ke tanah air. 

Semalam beliau menerima kunjungan pemimpin gerakan Islam dari pelbagai negara termasuk Dr. Usamah Hamdan dari pergerakan Hamas Palestin, Dr. Hamzah Mansour dari Jordan, Dr. Abdul Razzak dari Algeria, Dr. Nasir Sanie dari Kuwait, Dr. Ahmed Waqqar dari Pakistan serta para pemimpin pertubuhan Islam daripada beberapa negara. "Para pemimpin gerakan Islam yang hadir melahirkan rasa gembira apabila keadaan kesihatan Tuan Guru Presiden semakin pulih dan kembali sihat.
"Mereka beranggapan bahawa tenaga serta buah fikiran Tuan Guru Abdul Hadi amat diperlukan bagi memimpin gerakan Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa," kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad. Ustaz Abdul Hadi, tambah beliau melahirkan rasa terharu atas kunjungan para pemimpin gerakan Islam itu dan berharap akan dapat segera bersama mereka memberi sumbangan kepada ummah.

 Dr Syed Azman dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub kini berada di Istanbul bagi mengiringi Tuan Guru Abdul Hadi pulang ke tanah air. Presiden PAS sebelum ini menerima rawatan di Hospital Medipol Universite Hastanesi, dekat sini selama seminggu akibat komplikasi jantung dan paru-paru berair. Beliau dibenarkan keluar wad 7 Jun lalu. Tuan Guru Presiden berada di Istanbul kerana menghadiri Kongres Umat Islam Antarabangsa anjuran Pusat Penyelidikan Ekonomi (ESAM). Doktor menasihatkan beliau mendapat rehat secukupnya sebelum pulang ke Malaysia.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: