Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 9 Julai 2014

Berhati - hati Sebelum Raya

BANDARAYA MELAKA - Sindiket gores dan menang dilihat semakin aktif kini berikutan kebanjiran orang ramai di pusat-pusat membeli-belah menjelang ketibaan Hari Raya. Dengan menjadikan tempat letak kereta pusat membeli-belah ini sebagai kawasan operasi, mereka dikatakan sering menyasarkan golongan berumur. Menyedari tindakan ahli sindiket yang kini kembali aktif telah menyebabkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka mempertingkatkan operasi dan pemantauan sepanjang bulan Ramadan ini. 


 Penolong Pengarahnya, Mohd Tarmizi Rashid berkata, pihaknya juga banyak menerima aduan mengenai tindakan berani ahli sindiket yang kembali aktif pada bulan Ramadan ini. Menurutnya, pihak KPDNKK sentiasa menjalankan operasi dan pemantauan dalam usaha menangani gejala ini serta mengelaknya dari terus merebak. “Sebelum ini kita berjaya menangani masalah ini di kawasan Ayer Keroh dan kini kita akan memberi perhatian kepada kawasan-kawasan lain pula. “Selain itu kita juga telah mempertingkatkan operasi sempena Ramadan ini kerana ramai ahli sindiket yang turut mengambil kesempatan kebanjiran orang ramai di pusat membeli-belah untuk menjalankan aktiviti mereka,” katanya di sini semalam.

 Menurut Mohd Tarmizi, golongan berumur seperti pesara dan suri rumah merupakan golongan yang sering di sasar ahli sindiket. Menurutnya, walaupun isu ini banyak didedahkan media, namun masih ramai yang terus menjadi mangsa kerana didorong sikap mangsa yang mudah percaya dakyah ahli sindiket. “Di pihak KPDNKK, selain mengambil tindakan terhadap sindiket ini, kita akan terus berusaha membantu mereka yang menjadi mangsa,” katanya. Difahamkan, ahli sindiket juga kini kian berani dalam menjalankan aktiviti mereka di mana sebilangan mereka didakwa akan terus menghampiri kereta mangsa sebelum menghalang mangsa dari menutup pintu kereta dan beredar.

 Sementara itu, polis Melaka berjaya menahan empat wanita berusia antara 18 dan 31 tahun di kawasan Melaka Sentral akhir bulan lalu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti gores dan menang. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superintendan Ee Khong Koy, yang mengesahkan tangkapan itu berkata, polis akan terus berusaha menangani masalah ini, termasuk menyerbu kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan ahli sindiket beroperasi.

Tiada ulasan: