Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 14 Ogos 2014

ISU GAZZAH : MALAYSIA PERLU BERSUARA DALAM OIC

KUALA LUMPUR: Malaysia digesa vokal dalam Mesyuarat Menteri-menteri OIC berkenaan Gaza yang dijadualkan diadakan hari ini di Jeddah. Mesyuarat itu turut menyentuh isu-isu serta mencari penyelesaian sebenar kemelut lain; termasuk isu Syria, isu Boko Haram di Nigeria, dan juga isu pencabulan yang berlaku di Iraq pada masa ini. "Sekiranya OIC tetap menyepi, ini akan memberikan persepsi bahawa OIC seolah-olah tidak wujud di mata masyarakat dunia - malah merelakan kezaliman berterusan," ujarnya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.


 Channel News Asia melaporkan amaran seorang pegawai kemanusiaan PBB bagi wilayah Palestin, James Rawley bahawa sebuah konflik baru di Gaza akan bermula sekiranya Israel tidak menamatkan sekatan yang dikenakan ke atas wilayah tersebut. Beliau menambah, “sekatan itu mestilah dihentikan untuk membenarkan bahan-bahan mentah ke dalam Gaza untuk membolehkan kerja-kerja pembinaan semula bermula. Ini untuk memberikan Gaza kembali kuasa untuk berdagang dengan dunia luar. Sekatan ini mestilah dihentikan untuk membenarkan Gaza untuk terus maju”. Fakta yang sering dilupakan ialah sekatan yang bermula pada tahun 2007 inilah yang merupakan latar belakang kepada persengketaan terbaru yang berlaku pada masa ini.

 Beliau juga berkata, “masyarakat antarabangsa telah gagal dalam isu Israel-Gaza, yang pada ketika ini telah menyebabkan kira-kira 1930 nyawa Palestin dan 67 nyawa Israel terbunuh”. Laporan awal menyebut bahawa Gaza memerlukan AS$6-8 billion untuk kerja-kerja pembinaan semula. Saya menyeru kerajaan Malaysia untuk memulakan gerakan melalui OIC untuk menggesa Israel untuk menghentikan sekatan yang dikenakan oleh Israel, serta memastikan laluan dibuka semula agar bantuan kemanusiaan, serta bahan-bahan mentah untuk membina semula Gaza dapat dimulakan. Sudah cukup penderitaan rakyat Gaza setelah sebulan dibedil tanpa belas kasihan. 

 OIC perlu bertanggungjawab untuk memastikan Israel komited terhadap menjaga keamanan dan keselamatan di wilayah tersebut, bukan sahaja untuk rakyat Israel, bahkan keseluruhan warga Palestin yang terkesan. Malaysia perlu memulakan langkah untuk merancang penyaluran bantuan kemanusiaan ini, demi kebaikan bersama rakyat Gaza. Dalam pada masa yang sama, puak-puak militan di Iraq dilaporkan telah mula membunuh puak Yazidi kerana enggan menganut agama Islam. Media antarabangsa turut melaporkan puak militan ini telah membunuh kesemua pemuda dalam sebuah perkampungan. Lebih malang, terdapat juga laporan di mana wanita dan kanak-kanak ditanam hidup-hidup - sesuatu dakwaan yang wajar disiasat dan dikenakan tindakan sekiranya didapati sah.

 Mereka yang terselamat sedang menderita dengan kehausan dan penyakit, pergunungan Sinjar di Iraq. Dianggarkan bahawa kira-kira 150,000 orang masih lagi terperangkap di pergunungan ini. Menteri Hak Asasi Manusia Iraq, Mohammed Shia al-Sudani berkata, sudah lebih 500 orang daripada puak Yazidi ini telah dibunuh, dan kerajaan Iraq mempunyai bukti-bukti pembunuhan ini. Melihatkan pelbagai keganasan yang berlaku dalam dunia Islam pada masa ini, Malaysia perlu menyatakan pendirian mereka dengan lebih tegas. Kerajaan perlu menggunakan kerusi di OIC untuk mengutuk serta mengingatkan negara-negara Islam bahawa kita perlu melindungi mereka yang lemah dalam mana-mana peperangan; terutamanya penduduk, wanita dan kanak-kanak, selari dengan nilai-nilai Islam yang telahpun termaktub lebih 1400 tahun dahulu. 

 Menurut Dr Mohd Asri Zainul Abidin, “Islam menetapkan agar pembunuhan hanyalah di medan perang dan tidak boleh direbakkan ke luar medan. Hanya diperangi mereka yang terlibat dengan peperangan. Adapun golongan musuh yang tidak menyertai peperangan, mereka tidak diperangi atau dibunuh”. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 190 (maksudnya): “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. Dalam hadith daripada Ibn Umar r.a., katanya: "Seorang wanita didapati terbunuh dalam satu peperangan yang disertai Nabi s.a.w maka Rasulullah s.a.w. pun melarang membunuh wanita dan kanak-kanak”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Justeru, Malaysia dan OIC wajib mengeluarkan kenyataan untuk mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman yang sedang berleluasa ini.

 Kezaliman sebegini tidak berlandaskan prinsip-prinsip peperangan dalam Islam itu sendiri. Segala kekejaman yang berlaku atas nama Islam ini perlu dihentikan dengan serta-merta. Kita tidak boleh menutup mata terhadap pelbagai pencabulan hak asasi manusia yang lain. Kita mesti terus bersuara agar OIC memainkan peranan di dalam sengketa dunia Islam. Akhir kata, harap saya Malaysia vokal dalam Mesyuarat Menteri-menteri OIC berkenaan Gaza yang dijadualkan diadakan hari ini (12 Ogos) di Jeddah; dan turut menyentuh isu-isu serta mencari penyelesaian sebenar kemelut lain; termasuk isu Syria, isu Boko Haram di Nigeria, dan juga isu pencabulan yang berlaku di Iraq pada masa ini. Sekiranya OIC tetap menyepi, ini akan memberikan persepsi bahawa OIC seolah-olah tidak wujud di mata masyarakat dunia - malah merelakan kezaliman berterusan.

Tiada ulasan: