Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 19 Ogos 2014

MH 17: FASA AKHIR BAWA PULANG JENAZAH

THE HAGUE: Persiapan menguruskan jenazah mangsa tragedi MH17 kini memasuki fasa akhir, kira-kira 60 jam lagi sebelum 22 jenazah itu dihantar pulang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, untuk disempurna dan dilengkapkan sebelum diserah kepada waris keluarga. Ini kerana hanya tinggal beberapa jenazah sahaja lagi daripada jumlah tersebut yang masih perlu melalui proses pengurusan dan dokumentasi di Rumah Mayat Monuta, S-Gravanhage di sini. Ini termasuk upacara membakar mahupun solat jenazah yang akan dibuat ketua agama masing-masing yang telah dilantik dan semua proses ini dijangka diselesaikan pada Selasa atau selewat-lewatnya petang Rabu.


 Selesai proses tersebut, kerajaan Malaysia melalui kedutaan besar di sini akan memohon kelulusan kerajaan Belanda menyerahkan semua jenazah itu untuk dibawa balik. Pada Khamis pagi, dijangkakan jenazah akan dibawa masuk ke dalam pesawat khas Malaysia Airlines (MAS) dan akan disusun dalam kedudukan yang sangat tertib bagi menghormati jenazah tersebut sebelum pesawat berlepas pulang kira-kira pukul 2 petang. Semalam, Dr Fauziah berkata tiada sebarang upacara rasmi bagi penyerahan jenazah kepada kerajaan Malaysia pada Khamis ini. Katanya, apa yang akan berlaku nanti hanyalah proses biasa mengeluarkan jenazah dari rumah mayat untuk diserahkan kepada kerajaan Malaysia sebelum dibawa ke lapangan terbang untuk dihantar pulang ke tanah air. 

 Sementara itu, sambil menyifatkan proses tersebut akan terus berjalan lancar sehingga tiba di Kuala Lumpur, Dr Fauziah berkata adalah menjadi harapan dan keinginan kerajaan serta MAS untuk membantu dan memenuhi permintaan waris dalam pengurusan dan penghantaran pulang jenazah itu. Menurutnya kedutaan juga akan mengibarkan bendera separuh tiang pada Khamis dan berkabung sehingga Jumaat sebagai tanda penghormatan terakhir kepada jenazah. Beliau yang sudah enam tahun bertugas di negara yang terkenal dengan industri pelancongan itu berkata sokongan masyarakat tempatan dan asing terus dizahirkan setiap hari yang antara lain menguatkan semangat pihaknya dalam menguruskan jenazah tersebut. Dr Fauziah berkata, sehingga kini ucapan takziah masih diterima melalui e-mel, surat, faks, selain bunga dan di buku takziah dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin antarabangsa dan orang kebiasaan.

 "Kami juga bersyukur diberikan pasukan hebat tempatan dan mendapat kerjasama baik kerajaan Belanda dalam menjayakan proses pengurusan dan penghantaran pulang jenazah (kumpulan pertama) ini," katanya. Beliau berkata sebaik selesai sahaja proses penghantaran jenazah itu, pihaknya akan terus menunggu perkembangan dari kerajaan Belanda untuk jenazah lain (kumpulan kedua) yang dianggarkan masih 40 peratus lagi belum disempurnakan. Menurutnya, selain itu, pihaknya akan memberi tumpuan kepada proses siasatan nahas pesawat itu yang dijalankan pakar perundangan Belanda dan Malaysia. Dilaporkan sebanyak 22 jenazah mangsa tragedi MH17 akan dihantar pulang dari Netherlands pada Khamis dan dijangka tiba di tanah air pada pagi Jumaat seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Hari Perkabungan Negara. 

 Turut dilaporkan, penghantaran pulang jenazah merangkumi 18 keranda dan empat bekas berisi abu mayat warganegara Malaysia dan seorang bukan warga Malaysia. Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lalu. - Bernama

Tiada ulasan: