Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 8 September 2014

Khalid Tetap Bersemangat Bekerja

SERI KEMBANGAN - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat semakin bersemangat mengurus pentadbiran Selangor meskipun meniti hari-hari terakhir sebagai menteri besar. Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata, walaupun Abdul Khalid tidak mewakili PKR, pendekatan yang diambil dalam menjalankan tugasnya tidak berubah.


 “Beliau semakin bersemangat tadbir Selangor. Bukan saya seorang sahaja kata (begitu), malah tiga lagi Exco Pas turut mengakui perkara itu,” katanya ketika berucap di Ijtima Pas Selangor, di sini, semalam. Sallehen, yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Selangor berkata, setiap kali mesyuarat Exco, mereka berempat akan hadir. Pada 12 Ogos lalu, tiga hari selepas dipecat daripada PKR, Abdul Khalid memecat semua Exco PKR dan DAP kerana tidak bersetuju bersama pasukannya. Pas mengambil keputusan mengekalkan semua empat Exco mereka dan bekerjasama dengan Abdul Khalid mengikut undang-undang tubuh negeri yang memerlukan minima empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. 

 Sallehen turut mengulas tuduhan setengah pihak bahawa keempat-empat Exco ini gila kuasa kerana tidak mahu meletakkan jawatan. Beliau menjelaskan, tindakan mereka kekal dalam barisan Exco kerana mengikut arahan parti untuk tidak meletak jawatan itu kini terbukti untuk menjaga kerajaan Selangor, bahkan portfolio Exco yang dipecat diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi.

 “Jangan bila serah kepada Datuk Setiausaha, dia kata kita tak ada setia kawan, gila kuasa. Tidak begitu. Exco sekarang kena tanggung beban ditinggalkan Exco lalu,” katanya. Menyentuh tindakan dalam parti, Sallehen menganggap ahli yang berselisih pendapat dengan pemimpin, termasuk presidennya, boleh meluahkan pandangan tetapi mesti secara berakhlak, bukan sewenang-wenangnya. Katanya, ahli perlu bersabar dan ikut perancangan kepimpinan sekiranya ia mendatangkan kebaikan. “Sabarlah, jangan gelojoh. Nak kata apa katalah, kesabaran akan jadi kesuburan. Kalau presiden dimaki, macam mana dengan (akhlak) kita? Kita boleh lawan, tapi haruslah berakhlak, " katanya.

Tiada ulasan: