Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 22 September 2014

MB Baru Selangor : Siapa Pilihan Sultan Selangor ?

SOALAN yang sering bermain di fikiran setiap rakyat Selangor, iaitu siapa menteri besar yang baharu, akan terjawab hari ini, apabila pihak istana dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung nama pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Pengumuman ini dibuat sehari sebelum istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang, 10 pagi esok. Ini juga memberi maksud bahawa tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sejak lima tahun akan tamat dan diteruskan oleh calon yang baharu. Sumber Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) memaklumkan, Abdul Khalid mengakhiri tugasnya hari ini sebelum Majlis Angkat Sumpah menteri besar baharu, 23 September ini. “Pejabat Menteri Besar juga dalam proses pengosongan. Tan Sri pun akan pergi bercuti dalam tempoh terdekat ini,” katanya. 


 Difahamkan, hari ini Abdul Khalid akan menganjurkan jamuan ringkas untuk meraikan pengundurannya di lobi Bangunan SUK pada jam 4 petang. Sementara itu, sehingga semalam, pemerhati politik masih belum dapat mengenal pasti siapa yang akan menjadi pilihan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk dilantik mengisi jawatan tersebut. Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan semalam, terdapat beberapa petunjuk yang boleh dilihat memberi sedikit sebanyak jawapan kepada soalan cepu emas ini. PKR sejak daripada awal bertegas mahu Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menjadi menteri besar baharu menggantikan Abdul Khalid dan semalam sekali lagi parti itu menerusi Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail sekali menegaskan perkara tersebut. Beberapa pemerhati politik berpendapat kerusi menteri besar ini bakal diisi oleh calon dari Pas, berikutan tindakan parti itu menghantar beberapa nama kepada sultan untuk dipertimbangkan. 

 Peluang Pas nampak lebih cerah apabila sultan tidak pernah dukacita dengan parti tersebut dalam proses pemilihan calon ini, berbeza dengan rakan PR yang lain yang dianggap 'derhaka titah baginda'. Antara nama yang disebut-sebut ialah Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad. Selain beliau, dua exco lain iaitu Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Adun Sabak, Salehen Muhyi. Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali tidak boleh diketepikan, tambahan pula kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik PKR. Sinar Harian difahamkan, Azmin antara calon dipanggil istana untuk ditemuduga menjadi menteri besar, selain beliau, terdapat beberapa calon lain yang turut dipanggil istana iaitu Iskandar dan Ahmad Yunus. 

 Antara ketiga-tiga calon ini, Azmin dilihat lebih berpotensi dipilih kerana beliau pernah mendapat sokongan Pas untuk jadi menteri besar. Nama Wan Azizah langsung tidak dipanggil sekali gus mengetepikan Presiden PKR itu untuk kerusi paling panas tersebut. Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dalam kenyataan melalui laman Facebook rasmi PKR menafikan laporan portal berita bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju Azmin menjadi Menteri Besar Selangor. Segala persoalan ini hanya akan terjawab hari ini apabila pihak istana akan membuat pengumuman penting ini secara rasmi. Sesiapa pun dilantik mestilah mempunyai kebolehan dalam memimpin. Paling penting mesti kelihatan bersih dari segi moral dan integriti.Sama-sama kita nantikan.

Tiada ulasan: