JERANTUT - Hari Merdeka ke 57 bagi seorang penoreh getah agak sedih dan suram apabila ladang sawit seluas 1.5 hektar dimusnahkan pihak berkuasa bagi tujuan tapak projek perumahan di Kampung Paya Gunung, dekat sini, kelmarin.
Othaman Ismail, 55, yang ditemani isterinya, Rahimah Mat Deris, 55, berkata, berikutan notis daripada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) di sini pada 6 Mei lalu meminta dia mengosongkan kawasan itu menyebabkan dia sekeluarga runsing malahan sambutan Aidilfitri baru-baru ini tidak semeriah sebelum ini.
Dia sekeluarga juga kehilangan tempat tinggal apabila pihak berkuasa turut merobohkan kediaman mereka di tapak yang sama selepas notis berakhir 30 September ini.
Difahamkan, Keluarga Othaman bersama tujuh keluarga lain kehilangan mata pencarian berikutan tanah kerajaan yang mereka teroka diambil semula untuk tujuan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tidak lama lagi.
Menurutnya, sehinggalah terbukti arahan notis itu apabila ladang sawitnya dimusnahkan 28 Ogos lalu mereka kehilangan mata pencarian untuk menyara enam anaknya termasuk masa depan yang tidak menentu.
“Saya telah meneroka tempat ini sejak 1983 termasuk membina rumah dengan perbelanjaan wang terkumpul sebanyak RM50,000 sepatutnya dipertimbangkan dengan teliti oleh pihak berkuasa menggantikan kawasan lain memandangkan telah lama bermastautin di sini.
“Kami juga menerima notis untuk mengosongkan kediaman ini sehingga 30 September ini sebelum rumah ini dirobohkan pihak berkuasa,” katanya di sini, kelmarin.
Othaman antara tujuh penduduk lain kampung berkenaan menerokai kawasan itu sejak 33 tahun lepas dan telah banyak kali memohon menerusi wakil rakyat agar tanah yang diteroka diberi taraf hak milik tetap.
“Ketika menerima notis PTD pada Mei lalu, saya juga pernah berjumpa dengan wakil rakyat agar diberi sebuah penempatan baharu untuk penduduk di sini, selain merayu agar kawasan ini terus dikekalkan untuk perkampungan tetap sehingga memperoleh hak milik.
“Beliau (wakil rakyat) berjanji untuk menyediakan kawasan baharu untuk kami, tetapi sehingga kini tidak ada jawapan. Di mana saya hendak tinggal jika rumah dirobohkan tidak lama lagi?,” katanya.
Menurutnya, pendapatan menoreh getah milik orang yang diperoleh sebanyak RM1,200 sebulan tidak mampu membeli rumah hatta sebidang tanah untuk memulakan penghidupan baharu pada masa akan datang.
“Saya merayu wakil rakyat dan PTD agar pertimbangkan satu tapak baharu untuk pemindahan penduduk yang terbabit atau sekurang-kurangnya mengekalkan rumah milik saya bagi keselesaan meneruskan kehidupan sehingga akhir hayat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan