Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 12 September 2014

PENDIDIK Gesa Tubuh JK Siasat Kebocoran Ketas UPSR

KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (NGO PENDIDIK) mendesak kerajaan mewujuddkan satu Jawatankuasa Bebas bagi menyiasat kes soalan Sains dan Bahasa Inggeris 1 & 2 UPSR yang bocor. Presidennya, Normala Sudirman berkata pihaknya berasa kesal dan dukacita terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM)  dan Lembaga Peperiksaan Malaysia(LPM) atas insiden tersebut. “Satu Suruhanjaya Bebas perlu dibentuk seberapa segera untuk menyiasat insiden yang berlaku agar kejadian yang sama tidak akan berulang pada peperiksaan yang lain seperti SPM ,STPM atau PT3.”


 "Kita mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia menyiasat perkara ini secara terperinci dan mengheret pihak yang bertanggungjawab membocorkan soalan UPSR ini ke muka pengadilan. "Hukuman setimpal perlu dikenakan bagi memberi pengajaran kepada semua agar bersifat telus, berintegriti dan jujur  dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dalam bidang pendidikan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily. Menurutnya, implikasi yang berlaku adalah peperiksaan bagi matapelajaran tersebut telah ditangguh dan ditunda ke tarikh 30 September 2014 iaitu lebih dari dua minggu atau 20 hari dari tarikh asal. Apa yang pasti ujarnya, peristiwa ini telah mencalar imej KPM dan integriti LPM  sehingga akan timbul keraguan di kalangan ibu bapa, pelajar, warga pendidik dan masyarakat bagaimana ianya boleh berlaku sedangkan UPSR adalah konotasi kata bagi Ujian Pelajaran Sekolah Rendah bagi anak- anak yang berusia 12 tahun. 

 Turut dipersoalkan, di mana letaknya kejujuran dan sifat amanah yang ada pada ‘orang dalam‘ yang diberi mandat untuk membuat soalan dan menggubal dasar jika perkara yang melibatkan anak- anak berusia 12 tahun  bagi UPSR di sekolah rendah pun boleh berlaku. Katanya, sudah pasti ia suatu peristiwa yang amat memalukan dan mencalar imej Kementerian Pendidikan Malaysia dalam persada pendidikan negara. “Selain daripada peristiwa ini menjadi suatu sejarah dan titik hitam bagi calon UPSR tahun 2014 yang jumlahnya lebih dari 40,000 orang di seluruh Malaysia ini, ianya sudah pasti menyebabkan  mereka berasa kecewa dan secara tidak langsung faktor ini sedikit sebanyak telah menjejaskan emosi pelajar dan motivasi anak–anak UPSR. 

 "Berkemungkinan besar  juga motivasi diri akan menurun kerana mereka terpaksa menjalani peperiksaan bagi 3 kertas matapelajaran tersebut pada 30 September 2014 sedangkan sepatutnya peperiksaan UPSR yang bermula pada 9 hingga 11 September 2014 sepatutnya, telah tamat pada hari Khamis hari ini," tegas beliau lagi. Tambahnya, bukan setakat itu sahaja malahan perancangan bercuti dan dan mood merdeka selepas menghadapi  peperiksaan UPSR yang sepatutnya tamat pasti tergendala. Beban implikasi insiden ini turut dirasai warga pendidik yang bertugas sebagai pengawas peperiksaan dan pihak sekolah yang akan menyebabkan berlakunya pertambahan tugas kepada mereka. "Semoga insiden yang berlaku tidak melemahkan semangat warga pendidik, ibu bapa dan pelajar untuk terus berperanan dalam menyumbang dan mencurah bakti sebagai rakyat Malaysia," tegas beliau.

Tiada ulasan: