Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 10 November 2014

Guan Eng Cuba Malukan TGHH

KUALA TERENGGANU – Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menimbulkan isu ketidakhadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat Majlis Presiden dianggap usaha menjatuhkan nama baik pemimpin itu. Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani turut mempersoalkan alasan Guan Eng yang baru sekarang menimbulkan isu tersebut. Menurutnya, kenyataan terbuka Guan Eng berhubung isu itu juga seolah-olah cuba memperlekeh Abdul Hadi sedangkan pemimpin tersebut disifatkan seorang yang komited terhadap mesyuarat dan menepati masa. “Dari sudut kehadiran di Pusat, bukan beliau sahaja yang tidak hadir, orang lain pun tidak hadir juga, lagipun beliau bukan hanya bertanggungjawab sebagai Presiden Pas dan perlu menghadiri mesyuarat dalam negara, malah turut berperanan di peringkat dunia sebagai Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia. 


 “Kalau beliau tidak hadir, dalam Pas sendiri ada timbalan presiden, naib presiden untuk mewakili presiden dan bukannya tidak hantar wakil terus,” katanya kepada Sinar Harian, di sini. Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Lim Guan Eng dalam sebuah video yang disiarkan portal berita, baru-baru ini. Guan Eng mendakwa, Abdul Hadi sebagai seorang yang gila kuasa sebagai presiden parti dan sering ponteng mesyuarat Majlis Presiden PR. Beliau turut menjelaskan, Abdul Hadi pernah memberitahu dalam taklimat politik di Rusila bahawa mesyuarat yang diadakan kadang-kadang tidak sesuai dengan waktu beliau, sebagai contoh, apabila mesyuarat yang ditetapkan jatuh pada Jumaat. 

 Menurutnya, Abdul Hadi sebagai Ahli Parlimen Marang mengajar ilmu agama kepada orang ramai pada hari tersebut di kawasan Parlimen beliau di Masjid Rusila yang menjadi rutin harian sejak berpuluh-puluh tahun. “Sepatutnya tarikh mesyuarat perlu mengambil kira masa presiden juga. Apa salahnya kalau tanya sepatah kerana kalau perkara itu penting, tanyalah tarikh mana beliau mempunyai kelapangan,” katanya. Dalam masa sama, beliau tidak menolak kenyataan terbuka Guan Eng yang seolah-olah menyerang Abdul Hadi, berlaku selepas agenda Langkah Kajang yang dicetuskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jelasnya, banyak perkara telah berlaku selepas perkara tersebut tercetus yang bukan sahaja berlaku percanggahan pendapat dalam kalangan parti PR, tetapi juga di peringkat ahli Pas sehingga tertubuhnya Pasma.

Tiada ulasan: