Ahli PAS mempunyai saluran untuk menyuarakan pandangan dan pendapat serta melahirkan kritikan selagi mana ia berada di dalam lingkungan adab dan akhlak berjamaah.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata bukan satu kesalahan untuk kita memberi pandangan yang berbeza dalam perkara yang dibenarkan.
Namun katanya, ia perlulah dibuat dengan penuh tanggungjawab bukannya emosi dan hentam semberono.
"Medium media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Youtube itu sepatutnya dijadikan medan untuk kita menyerang musuh bukannya menembak sesama sendiri.
"Perbuatan memberikan gelaran, label yang buruk sesama kita juga adalah penyumbang ke arah kekeruhan dan ketegangan di dalam parti.," ucap beliau pada Sambutan Ulang Tahun PAS ke-63 di sini, hari ini.
Tambah beliau, masing-masing mempunyai latar belakang pendidikan berbeza, sedikit sebanyak ia menjadi faktor berbezanya cara berfikir dan bertindak.
Namun, ia bukanlah alasan untuk terus bersengketa kerana jamaah juga ada disiplin yang perlu dipatuhi, perbezaan pandangan yang berlaku itu perlulah dirumuskan dan dibuat keputusan secara bersama.
Jelasnya lagi, sebuah pelayaran yang jauh pastinya menempuh pelbagai dugaan, sesekali ombak besar membadai.
"Selagi mana kita teguh dengan prinsip dan disiplin perjuangan, insya Allah selagi itu kita akan selamat untuk terus bersama dengan bahtera ini.
"Krisis dalaman dan cabaran musuh luaran adalah suatu lumrah dalam proses mematangkan dan mengukuhkan lagi PAS.
"Semua kita akan diuji, bukan sahaja para ahli di bawah bahkan pimpinan yang di atas juga tidak terlepas daripada ujian," ucap beliau.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mengatakan sejarah telah membuktikan adanya pemimpin PAS yang keluar parti, ada yang membentuk parti serpihan tetapi hari ini PAS terus hidup dan istiqamah pada landasan perjuangannya.
"Sesungguhnya, di sebalik setiap krisis dan perpecahan yang berlaku, ia mengandungi hikmah yang tersirat untuk kita renungi bersama.
"Apabila sudah ada keputusan, ia wajib dipatuhi dan dihormati walaupun ia tidak memenuhi cita rasa hati kita, demi keharmonian dan masa depan jamaah ayuh kita segarkan kembali semangat ukhuwah saling menyayangi, menghormati dan mempercayai antara satu sama lain," sambung beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan