2014 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi, dan PAS sudah pun menjangkau umurnya 63 tahun. Iaitu peringkat umur yang sangat matang dan berpengalaman. PAS lahir pada 1951 manakala perjuangannya sudah bersusur galur semenjak penubuhan Hizbul Muslimin 1948, kejatuhan Aceh 1521 dan kejatuhan Pattani 1641. Ikhwan Muslimin Mesir ditubuhkan pada 1928 kemudian mula terserlah pada 1933. Jama'at Islami pula ditubuhkan di Lahore Pakistan pada 1941. Hamas ditubuhkan pada 1989, Front Islamic Salvation Algeria ditubuhkan pada 1970an dan sebagainya.
Di persada lautan pengalaman ini, beberapa untaian isi yang boleh dipahat di dada sejarah PAS, lahirlah beberapa buah dan hasil yang dapat dipetik setelah proses penanaman dan pembajaan yang cukup lama. Antaranya;
a) Masyarakat Islam di Malaysia mula faham kewajipan dan keperluan berpolitik dalam Islam ke arah membawa wadah dan menzahirkan syiarnya. Walaupun sebelumnya masyarakat masih menganggap politik hanya sekadar kuasa kosong yang tidak perlu diperjuangkan.
b) Masyarakat Islam di Malaysia mula sedar bahawa tidak ada pemisahan di antara Islam dan politik, bahkan Islam bukanlah sekadar agama ritual dan Islam juga bukanlah sepertimana tafsiran UMNO/BN ketika menghuraikan Islam sebagai agama rasmi. Islam adalah agama persekutuan mengikut roh dan tafsiran perjuangan awal PAS supaya kalimat ini dicatat dalam perlembagaan Malaysia.
c) PAS juga mengajar erti tahaluf dalam mencapai cita-cita perjuangan Islam beserta had batasannya yang mesti diperhalusi dan diambil kira. Islam bukanlah keseluruhannya longgar selonggar longgarnya, tidak pula ketat seketat ketatnya. Sebaliknya ada kelonggaran yang dibenarkan dan ada juga prinsip yang dipegang erat.
4. Dalam misi dakwah yang panjang, PAS telah berjaya mengetengahkan batasan kufur dan Iman dalam perjuangan. Tidak dibenarkan melangkaui batasan ini walaupun dengan idea idea yang kelihatan bernas serta rasional yang kelihatan betul. Walhal keimanan dan kekufuran itu mengikut garis neraca Islam.
5. Masyarakat juga mula faham mengapa PAS tidak boleh bersama perjuangan UMNO yang merupakan parti yang terdiri dari kalangan Melayu Islam. PAS pertahankan prinsip dalam apa juga keadaan walaupun terpaksa kehilangan sokongan. Redha Allah lebih diutamakan daripada kepuasan manusia dan keuntungan dunia. Inilah bimbingan para ulamak haraki sehingga PAS berdiri teguh, istiqamah dengan dasar perjuangan tersendiri.
* Sebuah catatan di perjalanan musafir dari Selangor ke Kampung Luat, Lenggong
Terus beristiqamah,
Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
Selasa 24 Safar 1436
16 Disember 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan