KUALA LUMPUR - Cita-cita menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar bertaraf dunia menjelang tahun 2020 tidak akan berhasil sekiranya budaya tidak menepati janji terus menjadi amalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam kenyataannya hari ini mempersoalkan janji DBKL untuk mewujudkan pusat perlindungan gelandangan di beberapa lokasi di ibu kota.
“Dalam satu mesyuarat antara ahli-ahli parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Datuk Bandar semalam, saya telah bertanyakan status projek pusat-pusat perlindungan ini.
“Malangnya Datuk Bandar memberitahu bahawa tidak ada satu pun yang dibina disebabkan beberapa alasan, dan beliau kemudiannya tidak memberikan tarikh baru untuk projek ini dijangka siap.
“DBKL ini memang terkenal dengan reputasi ‘buat kerja tak habis’.

Justeru itu Lip Eng mencadangkan Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menubuhkan jawatankuasa khas dianggotai ahli parlimen Kuala Lumpur secara rentas parti bagi menangani isu seperti kurangnya rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah, OKU dan miskin bandar.
“Keperluan perumahan dan pusat perlindungan bagi golongan yang kurang berkemampuan dan kurang upaya merupakan resolusi yang disepakati semua ahli parlimen Kuala Lumpur.
“Saya percaya bahawa ahli parlimen Kuala Lumpur dari kedua-dua belah pakatan politik akan bekerja keras ke arah merealisasikan resolusi ini,” ujar Lip Eng.
Isu gelandangan di ibu kota menjadi topik hangat pada Julai 2014 apabila Kementerian Wilayah Persekutuan melarang Dapur Jalanan beroperasi dalam lingkungan 2 kilometer radius dari pusat beli-belah terkemuka Lot 10 di Jalan Bukit Bintang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan