Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 7 April 2015

JAIM NAFI KELUAR ENEKMEN BARU

BANDARAYA MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) bertindak menguatkuasakan undang-undang menerusi Enakmen Kesalahan Syariah Negeri 1991 yang memerlukan proses siasatan sebelum hukuman dijatuhkan. Ketua Pegawai Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, pihaknya turut menafikan jabatan itu mengeluarkan undang-undang baharu berkaitan penguatkuasaan seperti pemberian kompaun secara terus kepada pesalah. Menurutnya, individu yang menyebarkan maklumat palsu berkaitan penguatkuasaan syariah disifatkan tidak bertanggungjawab dan dianggap menyamar sebagai wakil pihak berkuasa kerajaan negeri. “Penyebaran maklumat palsu ini tidak mewakili lidah rasmi kerajaan sedangkan kalau melibatkan perundangan, kita mesti merujuk kepada kerajaan negeri mahupun agensi penguatkuasa.


 “Jaim tidak melakukan hukuman denda secara terus seperti kesalahan membuang sampah tetapi masih terikat dengan proses siasatan dan pendakwaan di mahkamah syariah. “Mereka yang sengaja menyebarkan maklumat ini seolah-olah mempermainkan undang-undang dan memperlekeh institusi agama,” katanya, mengenai penyebaran maklumat mengenai arahan baharu kerajaan negeri tentang tatacara berpakaian bagi wanita. Malah maklumat palsu itu juga turut mendakwa denda sebanyak RM80 bagi wanita tidak memakai tudung, denda bagi membonceng lelaki dan perempuan bukan mahram (RM100 bagi wanita) dan (RM80 bagi lelaki) serta memakai seluar ketat (RM120). Manakala, premis perniagaan seperti kedai makan diarahkan tutup dari jam 12.30 tengahari hingga 2.30 petang setiap kali tiba waktu solat Jumaat, bagi memastikan kaum lelaki menunaikan solat dan tidak melepak di tempat awam.

 Mengulas mengenai perkara itu, Rahimin berkata, enakmen di bawah Seksyen 71 sudah menetapkan perlakuan tidak sopan atau berpakaian tidak sopan yang bertentangan hukum syarak di tempat awam adalah menjadi kesalahan. "Hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau boleh di penjara selama tempoh tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali," katanya. Beliau menasihatkan umat Islam lebih peka menjaga keperibadian diri dan berpakaian mengikut landasan agama.

Tiada ulasan: