Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 12 Februari 2008

ALI RUSTAM JERUT TENGKUK SENDIRI DAN DERIH JUSOH !

Mat Zain Mat Isa

Marah benar nampaknya Naib Presiden Umno, Mohd Ali Rustam kepada kerajaan negeri Kelantan. Beberapa kenyataan beliau dalam seminggu ini jelas menggambarkan perasaan meluat dan geramnya terhadap kerajaan pimpinan PAS itu.

Dalam kenyataan terbarunya sebagaimana disiarkan akhbar Isnin (11 Februari), Ali Rustam tidak dapat menyembunyikan sifat mudah melentingnya apabila bercakap soal pembangkang. Reaksi spontannya terhadap kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai tarikan pelancongan ke negeri itu menjelaskan lagi sifat prejudisnya terhadap PAS.

"Cara begini seolah-olah menjadikan politik macam lawak jenaka, sedangkan politik adalah perkara serius untuk membangunkan bangsa dan negara," kata Ketua Menteri Melaka itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tok Guru Nik Aziz dua hari sebelumnya bahawa corak pemerintahan PAS yang berbeza daripada Kerajaan Pusat merupakan salah satu faktor tarikan pelancong asing dan tempatan ke negeri Kelantan.

Menurut Tok Guru, perbezaan itu menimbulkan perasaan ingin tahu pelancong menyebabkan mereka terdorong datang sendiri ke Kelantan. Hakikat itu sekaligus menambahkan keunikan negeri itu berbanding negeri-negeri lain selain kelainan cara hidup yang dikaitkan dengan pelbagai bentuk kesenian tradisional dan makanan di samping keramahan penduduknya.

Keyakinan itu diluahkan Tok Guru dalam ucapannya ketika merasmikan kempen Tahun Melawat Kelantan 2008, di Kota Bharu, 8 Februari lalu.

Tidak disangka pula kenyataan sebegitu ringkas tentang keunikan Kelantan (yang memang tidak dapat dinafikan mana-mana pihak) rupa-rupanya berupaya menghangatkan hati seorang Naib Presiden Umno. Sehinggakan hal itu mendorong Ali Rustam menuduh PAS menjadikan politik dan pemerintahan negeri sebagai suatu sandiwara.

Kemarahan beliau malah melarat sehingga menyimpulkan kononnya sudah sampai masanya pengundi Kelantan beralih kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya nanti. Hujah beliau, rakyat Kelantan perlu sedar bahawa yang membangunkan negeri tersebut adalah kerajaan Pusat dan bukannya PAS. Tanpa bantuan daripada kerajaan BN, Ali Rustam mendakwa tidak mungkin negeri Kelantan dapat membangun.

Reaksi keras beliau itu tidak begitu mengejutkan. Pertama, sebagai seorang yang bergelar 'Datuk Wira', Ketua Menteri Melaka itu memang terkenal sebagai seorang wira Umno yang 'blunt' dalam serangannya terhadap parti lawan.

Mana ada seorang ketua kerajaan yang sanggup menjadi 'penyampuk' ceramah pemimpin PAS selain beliau? Kisah bagaimana beliau mengganggu ceramah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Melaka beberapa tahun lalu telah diketahui umum.

Ali Rustam menggunakan pembesar suara di pentas ceramah BN berdekatan tempat ceramah PAS untuk menyampuk dan menjawab setiap ucapan Abdul Hadi secara spontan. Macam budak-budak, bukan?

Beliau juga pernah mengharamkan sebarang rombongan oleh kakitangan awam negerinya ke Kelantan dan Terengganu (sewaktu di bawah PAS) beberapa tahun lalu. Beliau juga membatalkan kontrak panel beberapa firma guaman di negerinya yang disyaki menjadi penyokong pembangkang.

Kedua, hujah terhadap kerajaan Kelantan tadi telah pun disebut Ali Rustam beberapa hari sebelumnya. Selepas melancarkan satu majlis rasmi di Semabok, Melaka, 5 Februari lalu, beliau telah mengeluarkan kenyataan serupa.

"Saya percaya jika tiada bantuan Kerajaan Pusat, Kelantan sudah pasti lebih teruk (mundur) sebab pembangkang tidak buat apa-apa pun untuk memajukan negeri," katanya.

Beliau lalu menyebutkan betapa kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM7.6 bilion kepada Kelantan. Lebih menarik lagi (dengan tak cerdiknya), Ali Rustam telah menjadikan negeri Terengganu yang diperintah BN sebagai perbandingan dengan Kelantan.

"Bayangkan kalau negeri itu (Kelantan) di bawah pemerintahan kerajaan BN, sudah pasti lebih banyak pembangunan yang akan dibawa, seperti mana di Terengganu," katanya.

Barangkali Ali Rustam tidak sedar bahawa sebaik beliau membandingkan pembangunan Kelantan dengan Terengganu, beliau bagaikan turut menjerut leher rakan sejawatnya di negeri itu dan juga dirinya sendiri.

Soalnya, jika keupayaan dan kemampuan kerajaan negeri Kelantan yang dipertikaikan, maka sejauh manakah keupayaan kerajaan negeri-negeri lain, terutama Terengganu untuk membangun tanpa bantuan kerajaan Pusat?

Dalam kunjungannya ke Terengganu pada 12 Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa kerajaan Pusat akan terus menyokong masa depan Terengganu.

Menurutnya, dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK-9) kerajaan Pusat telah memberi peruntukan besar kepada Terengganu iaitu sebanyak RM7.2 bilion. Jumlah itu meningkat sekali ganda berbanding peruntukan di bawah RMK-8, selain pelaksanaan beberapa projek mega lain. Maka, di mana wajarnya dibangkitkan soal peruntukan RM7.6 bilion kepada Kelantan jika negeri-negeri diperintah BN juga menerima peruntukan serupa?

Jangan kita lupa bahawa belanjawan tahunan kerajaan Terengganu sejak beberapa tahun lalu adalah pada hakikatnya belanjawan defisit. Hampir 90 peratus anggaran pendapatan untuk perbelanjaan kerajaan negeri adalah daripada pemberian kerajaan Pusat.

Dalam Belanjawan Terengganu 2008, kerajaan negeri mengumumkan sejumlah RM1.673 bilion disediakan bagi membiayai Perbelanjaan Bekalan, Perbelanjaan Tanggungan dan Pembangunan negeri.

Sejumlah RM55.30 juta atau hanya 3.31 peratus daripada anggaran belanjawan itu adalah daripada Hasil Cukai. Manakala RM113.65 juta atau 6.79 peratus adalah Hasil Bukan Cukai.

Kedua-dua hasil tersebut merupakan sumber langsung yang diperolehi kerajaan dari dalam negeri. Ia bagaimana pun berjumlah hanya RM168.95 juta atau membentuk hanya 10.1 peratus daripada keseluruhan belanjawan tersebut.

Baki RM1.504 bilion atau 89.9 peratus lagi adalah Terimaan Bukan Hasil. Maksudnya, terimaan ini bukanlah hasil negeri, bukan diperolehi menerusi apa-apa aktiviti negeri. Sebaliknya ia mungkin datang sebagai ganjaran, pembiayaan, pemberian atau ehsan daripada mana-mana pihak. Dalam kes Terengganu ini, jumlah itu dijangka akan diperolehi menerusi pembiayaan oleh kerajaan Pusat.

Dalam belanjawan 2007 lalu, jumlah Terimaan Bukan Hasil (ehsan kerajaan Pusat) adalah RM1.45 bilion atau 89.94 peratus. ,p. Kedua-dua belanjawan tersebut sebenarnya suatu pembuktian atas ketidakupayaan BN Terengganu menjana pendapatan sendiri bagi membiayai keperluan perbelanjaan negeri.

Bayangkan dengan Hasil Cukai sebanyak RM55.30 juta dicampur Hasil Bukan Cukai RM113.65 juta, menjadikan jumlahnya RM168.95 juta, belum pun cukup untuk menampung keperluan sebanyak RM216.81 juta untuk Emolumen.

Ertinya, jika diharapkan kewangan kerajaan negeri, untuk membayar gaji kakitangan perkhidmatan awam negeri pun tidak cukup. Maka, bagaimanakah untuk dikatakan BN Terengganu mampu membiayai pembangunan yang lain-lain?

Bezanya, Tok Guru Nik Aziz tidak malu untuk berterus-terang dalam hal ini. Beberapa kali beliau secara terbuka mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pusat kerana bermurah hati menghulurkan bantuan kepada negerinya, sama ada melalui saluran kerajaan negeri atau pun secara terus kepada rakyatnya.

Ada pun rakan sejawatnya di Terengganu sering mendabik dada kononnya kerajaan pimpinannya telah berjaya memajukan Terengganu. Sedangkan sudah bukan suatu rahsia lagi betapa segala projek besar dan utama di negeri itu semuanya dibiayai oleh kerajaan Pusat.

Namakan apa saja – Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur fasa 2, universiti, stadium, pembangunan Pulau Wan Man, Pulau Duyong dan Piala Monsun. Apa lagi?

Pendekatan, tiada apa yang boleh dibanggakan sebagai kejayaan kerajaan negeri. Semua yang diuar-uarkan sebagai lambang kejayaan pemerintahan BN di Terengganu sebenarnya adalah projek dan pelaksanaan kerajaan Pusat.

Barangkali Ali Rustam memang jahil tentang fakta ini. Justeru, dia perlu sedar keterlanjuran dan keceluparannya. Jika dia dengan angkuh dan bongkak telah berkata 'kerajaan Pusat yang memajukan Kelantan, bukan kerajaan negeri' pimpinan PAS, maka dia juga sepatutnya berkata kepada kawannya di Terengganu dengan ungkapan yang sama.

Tiada ulasan: