Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 13 Februari 2008

KHAIRY DE FACTO MB TERENGGANU - LIM KIT SIANG

KUALA LUMPUR, 12 Feb: Pengerusi DAP menyifatkan langkah Ketua Menteri Pulau Pinang menyerahkan tiga nama kepada Perdana Menteri untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya umum nanti, seumpama menyerahkan kuasa lantikan itu kepada menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin.

"Selepas menguasai pentadbiran Terengganu, kini Khairy akan menguasai pentadbiran Pulau Pinang pula," kata Lim Kit Siang dalam kenyataannya.

Menurut Kit Siang, semua orang tahu Khairy Jamaludin adalah de facto Menteri Besar Terengganu dan Datuk Seri Idris Juosh adalah patung dan Menteri Besar pada namanya sahaja.

"Khairylah yang membelanjakan berbilion ringgit 'wang ehsan' yang diperolehi dari 5 peratus wang royalti Petronas untuk negeri itu, yang hanya sekadar 'melalui' pejabat Menteri Besar sahaja," dakwa Kit Siang.

Menurut beliau, dengan cara menyerahkan tiga nama bakal calon Ketua Menteri kepada Perdana Menteri bermakna, siapa yang bakal dipilih adalah hak Umno kini bukan Gerakan lagi.

"Ya, jawatan ketua menteri Pulau Pinang akan kekal di tangan Gerakan, tetapi buat pertama kalinya dalam sejarah, Umno yang akan membuat keputusan siapa bakal menjadi Ketua Menteri dari kalangan pemimpin Gerakan," kata beliau.

Menurut Kit Siang, pengakuan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Seri Chia Kwang Chye bahawa dia tidak tahu menahu dengan pencalonan tiga nama kepada Perdana Menteri untuk dipilih sebagai Ketua Menteri juga membuktikan Ia bukan pilihan Gerakan tetapi Umno.

Tiada ulasan: