Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 20 Februari 2008

DILEMA MELAYU BARU : ORANG MELAYU TERCICIR DI SEBALIK SEGALA KEISTIMEWAAN

Orang Melayu adalah antara segelintir bangsa yang istilahnya dihasilkan daripada segi perundangan. Kerana itu Perlembagaan Malaysia menyerlahkan bahawa orang Melayu itu adalah seseorang yang biasa bertutur bahasa Melayu, menganut agama Islam dan mengamalkan budaya Melayu. Kerana itu perubahan tidak merobah seseorang Melayu itu menjadi bukan-Melayu.

Budaya pada keseluruhannya merupakan sistem nilai yang diterima pakai, walaupun ia tidak semestinya diamalkan oleh seseorang ataupun sesuatu bangsa. Penelitian menunjukkan bahawa sesuatu budaya bangsa itu menentukan apakah mereka berjaya ataupun tidak.

Orang-orang Eropah, Asia, Afrika dan orang asli Amerika (American Indians) boleh berjaya semuanya dan boleh gagal kesemuanya. Dengan itu tidak semestinya bangsa ataupun etnik yang menentukan kejayaan. Tetapi ia terletak kepada budaya.

Pada 60-an dahulu, ketika saya menulis 'The Malay Dilemma' saya beranggapan bahawa semua orang Melayu ketandusan peluang untuk membangun dan menjadi berjaya. Mereka kekurangan peluang untuk mendidik diri, peluang untuk meraih pendapatan yang cukup untuk berniaga, peluang untuk dilatih dalam kerjaya yang diperlukan, lesen dan ruang berniaga. Kalau semua peluang boleh disediakan kepada mereka, sudah tentu mereka boleh berjaya.

Akan tetapi pada hari ini, sikap sudah berubah. Mendapatkan biasiswa dan tempat belajar di universiti di tanah air sendiri ataupun di luar negara memerlukan kepentingan hak dan bukan merupakan satu nilai semata-mata. Malahan, entah kenapa, mereka yang menerima peluang pendidikan ini, seolah-olah membenci orang-orang yang mewujudkan peluang-peluang ini. Yang lebih dahsyat lagi, mereka seolah-olah tidak menghargai segala peluang yang mereka terima.

Mereka lebih berminat kepada perkara lain, khususnya politik, sehingga menjejaskan pengajian mereka. Dalam perniagaan, majoriti yang besar menganggap peluang yang diberikan kepada mereka sebagai sesuatu yang mesti dipergunakan untuk pulangan yang terpantas.

Mereka tidak mempelajari apa-apa mengenai bisnes dan menjadi semakin tidak terdaya melakukan perniagaan untuk mendapat pulangan daripada kegiatan mereka. Mereka lebih cenderung menjadi rakan kongsi 'tidur' dan ada kalanya bukan pun begitu. Kerana sudah menjual perkongsian, mereka tidak ada kena-mengena dengan perniagaan itu. Mereka akan pergi kepada kerajaan untuk meminta lebih banyak lesen, permit, saham dan sebagainya.

Kenapa perkara sedemikian boleh berlaku? Jawapannya terletak kepada budaya orang Melayu. Mereka mempunyai sikap tenang dan mudah mengalah. Jalan yang paling mudah ialah menjual apa juga yang diperolehi dan pergi memintanya lagi. Inilah budaya mereka.

Bekerja keras, mengambil risiko dan bersabar bukan merupakan sebahagian budaya mereka. Harus diingat pada zaman silam, orang Melayu tidak pun bersedia membuat kerja yang disediakan oleh kuasa penjajah semasa penjajah mengeksploit (merompak) negara ini.

Oleh kerana orang Melayu enggan bekerja di ladang getah dan lombong bijih, pihak penjajah telah membawa masuk pekerja daripada India dan China. Ada satu ketika dahulu, di mana pendatang asing lebih ramai lagi daripada orang Melayu. Kalaulah lebihan bilangan itu terus berkesinambungan Malaya merdeka sudah tentu menyerupai Singapura merdeka.

Akan tetapi, nampaknya orang Melayu tidak pun mempelajari sesuatu iktibar daripada kemelut yang hampir membawa padah kepada negara pada zaman lampau. Hari ini mereka masih enggan bekerja dan warga asing masih membanjiri negara ini. Oleh kerana mereka tidak melengkapkan diri dengan pendidikan serta kemahiran yang sesuai, mereka terus bergantung kepada orang lain.

Dominasi politik akan melindungi orang Melayu untuk satu tempoh sahaja. Akan tetapi dominasi itu semakin terhakis dengan pantas gara-gara sikap mereka suka bergaduh sama sendiri dan berpecah-pecah kepada kumpulan kecil yang tidak berkesan. Keunggulan jumlah ramai mereka sudah tidak membawa erti sekarang ini berbanding semasa kemerdekaan dahulu. Ketika itu orang Melayu bersama golongan Bumiputera merupakan 60 peratus penduduk negara ini. Akan tetapi daripada sudut kuasa politik, kini peratusannya adalah amat jauh daripada 60 peratus itu. Sekarang ini mereka lebih bergantung kepada sokongan bukan-Melayu, parti kerajaan dan juga pembangkang. Sememangnya daripada sudut ekonomi, mereka memiliki separuh daripada 30 peratus bahagian yang diperuntukkan kepada mereka. Kalaulah kita ketepikan sumbangan bukan-Melayu kepada ekonomi negara, Malaysia hari ini tidak jauh bezanya dengan segelintir negara membangun di Afrika.

Kalau mahu berjaya, orang Melayu mesti mengubah budaya mereka. Mereka mesti anggap pekerjaan itu sebagai imbuhan kepada melakukan pekerjaan. Mereka mesti anggap pencapaian melalui pekerjaan sebagai imbuhan sebenarnya. Memang seharusnya ada lebih banyak imbuhan kewangan akan tetapi ini seharusnya tidak mengatasi kepuasan yang diraih daripada hasil kerja mereka.

Mengubah budaya adalah lebih sukar daripada kerja-kerja mengubah dasar kerajaan. Adalah amat mudah mengemukakan tindakan keistimewaan tetapi bukanlah semudah itu untuk melaksanakannya. Si penerima mesti mempunyai sikap yang sempurna seandainya mahu mencapai kesannya. Malangnya mereka beranggapan bahawa tongkat yang ada itu merupakan simbol betapa mereka memiliki status keunggulan di negara ini. Yang sedihnya mereka tidak pun menggunakan tongkat itu dengan betul. Kesannya, tidak ada apa-apa yang mereka nikmati ataupun sedikit sahaja yang diperolehi daripada segala kemudahan bantuan itu semuanya.

Dengan demikian apakah dilema Melayu yang baru itu? Dilema yang lama ialah apakah mereka harus cemarkan satu gambaran itu sedikit untuk membantu diri mereka sendiri.

Dilema yang baru ialah persoalan sama ada mereka harus buang ataupun tidak tongkat yang mereka amat selesa gunakan, yang sesungguhnya memang menjadi kemegahan mereka.

Ada sekumpulan minoriti Melayu yang yakin untuk menolak tongkat itu secara berdikit-dikit, tetapi bilangan mereka adalah kecil sahaja. Jumlah mereka tidak mungkin meningkat dalam masa terdekat. Mereka pada umumnya dianggap sebagai penderhaka kepada bangsa Melayu.

Akan terdapat pelbagai bantahan terhadap sindiran mengenai sikap Melayu itu. Hampir setiap hari kita ada membaca kisah Melayu yang tidak ada penglihatan dan yang cacat anggota lulus pengajian mereka dengan ijazah di universiti ataupun memandu kereta ataupun melaksanakan pelbagai jenis pekerjaan.

Ini tidak membuktikan segala pengamatan saya itu adalah silap. Memang ada pengecualiannya. Mereka hanya membuktikan kalaulah sikap yang betul itu ataupun budaya yang betul digunakan, orang yang cacat pun boleh berjaya. Dilema yang dihadapi oleh segelintir manusia yang mahukan kewujudan satu bangsa Melayu yang bebas dan tahan lasak, tanpa tongkat ialah kemungkinan besar mereka akan menjadi kurang popular dan kehilangan upaya untuk mempengaruhi perubahan budaya dan sistem nilai yang amat diperlukan.

Mereka tidak seharusnya mencuba namun mereka tahu bahawa tanpa perubahan budaya itu orang Melayu pasti akan gagal juga.

Oleh Mahathir Mohamad

Tiada ulasan: